PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) bahawa notis yang dikeluarkan kepada peguam Mahajoth Singh dalam siasatan melibatkan Albert Tei Jiann Cheing adalah mengelirukan atau berbentuk intimidasi.
Menurut SPRM, notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menghendaki mana-mana individu hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman yang diperlukan bagi membantu siasatan.
SPRM menegaskan, undang-undang tidak memberikan sebarang pengecualian kepada pengamal undang-undang dan dakwaan sebaliknya tidak berasas.
“Peguam yang mewakili suspek memegang bahan bukti berkaitan dengan siasatan dan oleh itu mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakannya apabila diminta di bawah Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009.
“Kegagalan berbuat demikian boleh dianggap sebagai tindakan menghalang penjawat awam menjalankan siasatan, yang merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Hari ni, Pengarah LFL, Zaid Malek mendakwa SPRM bertindak di luar undang-undang apabila memanggil peguam Albert Tei, untuk disoal siasat berhubung siasatan skandal melibatkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Dakwa Zaid Malek, peguam Mahajoth Singh menerima notis pada kira-kira jam 9.50 malam semalam yang mengarahkannya hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi bagi memberi keterangan dalam siasatan yang melibatkan kliennya sendiri.
Dalam pada itu, SPRM turut menekankan bahawa keistimewaan komunikasi antara peguam dan anak guam hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit.
Katanya, keistimewaan itu tidak mengecualikan peguam daripada hadir di hadapan pegawai penyiasat, tidak melindungi bahan atau dokumen yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang, dan tidak menghalang siasatan jika peguam tersebut merupakan saksi material.
“Sehubungan itu, dakwaan intimidasi tidak berasas kerana notis tersebut hanyalah proses statutori biasa yang tidak menjejaskan kemampuan peguam untuk mewakili anak guamnya.
“Ini adalah sebahagian daripada prosedur standard untuk memanggil mana-mana individu yang mempunyai maklumat relevan bagi melengkapkan sesuatu siasatan,” ujarnya.
Dalam kenyataan itu, SPRM menyifatkan tindakan memutarbelitkan prosedur sah sebagai ‘tindakan tanpa undang-undang’ sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi mengelirukan orang awam.
Tegas SPRM, pihaknya akan terus menjalankan tugas secara berkecuali, profesional dan sepenuhnya mengikut kerangka undang-undang. -MalaysiaGazette
















