KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren KTM Komuter mengalami gangguan susulan insiden alat talian atas terputus di antara Salak Selatan – Serdang pada jam 7.23 pagi tadi, kata Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, gangguan tersebut menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat digunakan buat sementara waktu, sekali gus menjejaskan kelancaran operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter di sektor terbabit.
“Untuk makluman, sektor ini beroperasi menggunakan satu landasan sahaja berikutan satu lagi landasan masih berada di bawah kerja-kerja menaik taraf landasan (KVDT), menyebabkan pergerakan tren di kawasan ini lebih terhad semasa insiden berlaku,” katanya.
Tambahnya, berikutan gangguan itu, tren KTM Komuter dari arah Pulau Sebang / Sungai Gadut menuju Batu Caves ditamatkan di Stesen Kajang sebelum berpatah balik semula ke Pulau Sebang.
Sementara itu, tren komuter dari Batu Caves menuju ke arah selatan ditamatkan di Stesen KL Sentral dan berpatah balik ke Batu Caves.
Laluan antara Kajang – KL Sentral tidak dapat dilalui pada ketika ini, dan penumpang disarankan menggunakan pengangkutan alternatif sementara kerja-kerja baik pulih sedang dilaksanakan.
Dalam pada itu, perkhidmatan ETS EP9511 (KL Sentral – Kluang) turut terjejas susulan laluan yang tidak boleh dilalui.
Tren berkenaan mengalami kelewatan melebihi 120 minit dan telah ditarik menggunakan lokomotif bantuan dari Salak Selatan ke Stesen Kajang pada jam 9.40 pagi bagi tujuan pemindahan penumpang dan keselamatan operasi.
Perkhidmatan ETS EG9420 (Segamat – Padang Besar) juga ditarik menggunakan lokomotif bantuan dari Stesen Kajang ke Stesen Bandar Tasik Selatan dan seterusnya ke Stesen Salak Selatan sebelum meneruskan perjalanan.
Selain itu, ETS EP9510 (Kluang – KL Sentral) turut ditamatkan perkhidmatannya di Stesen Kajang dan penumpang telah dinasihatkan meneruskan perjalanan menggunakan pengangkutan alternatif.
Penumpang tren berkenaan boleh memohon pemulangan perbezaan tambang ETS mengikut terma dan syarat yang sedia ada.
KTMB juga ingin memaklumkan bahawa tren ETS EG9321 (Butterworth – Segamat) akan ditarik menggunakan lokomotif bantuan dari Salak Selatan ke Stesen Kajang sebagai sebahagian daripada pelan pengalihan tren di sektor terjejas.
Penumpang yang terkesan telah dimaklumkan mengenai kelewatan ini melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai langkah pemberitahuan awal.
Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi 2 jam boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh melalui aplikasi KITS atau di kaunter tiket KTMB.
Pasukan teknikal KTMB kini berada di lokasi dan kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan secepat mungkin bagi memulihkan operasi tren. KTMB akan mengemas kini perkembangan situasi ini dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi KTMB.
Para penumpang yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada kakitangan stesen yang bertugas atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 untuk maklumat lanjut.
KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan ini. -MalaysiaGazette
















