KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan menetapkan Khamis ini bagi mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Selain itu, Jumaat ini, Mahkamah Rayuan turut dijadual menyampaikan keputusan rayuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkaitan kenyataan fitnah menyentuh gerakan Kristianisasi.
Kedua-dua tarikh rayuan itu diperoleh melalui semakan laman web kehakiman.
Berkaitan kes Mohd. Isa, pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac tahun lalu dan petisyen rayuan pada 26 Jun lalu dengan mengemukakan 24 alasan mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan beliau.
Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd. Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.
Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd. Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel.
Pihak pendakwaan menyatakan, mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.
Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.
Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.
Pada 6 Mac tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah berpuas hati, tiada bukti yang menunjukkan terdapat kod perkataan ‘salam’ antara Mohd. Isa dengan Muhammad Zahid yang mengaitkan responden dengan pertuduhan rasuah.
Pada 2018, Mohd. Isa, 75, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel melalui Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Persiaran KLCC, di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sementara itu, keputusan rayuan Hannah akan diumumkan pada 5 Disember ini oleh panel rayuan diketuai oleh Datuk Azimah Omar yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman.
Koram berkenaan selesai mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada 17 Oktober lalu.
Ahli Parlimen Segambut itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Disember tahun lalu yang menolak samannya dan memutuskan kenyataan yang dibuat oleh Musa pada 2020 tidak berniat jahat terhadap beliau. Menteri Belia dan Sukan itu turut diperintah membayar kos RM40,000.
Hakim bicara mempertimbang pembelaan Musa bahawa plaintif sendiri mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia dan ingin menyebarkan agama melalui politik manakala bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya penganut Kristian.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan berbaur fitnah pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?” di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Januari 2020.
Musa, 74, bagaimanapun menyatakan, ucapan itu disampaikan berdasarkan kepada siasatan risikan berkaitan isu-isu keselamatan negara melibatkan aktiviti komunisme. – MalaysiaGazette
















