Gambar hiasan MyDigital ID

KUALA LUMPUR – Semua syarikat telekomunikasi akan melaksanakan integrasi teknologi pengesahan MyDigital ID ke dalam aplikasi mudah alih masing-masing, mulai esok.

MyDigital ID dalam kenyataannya hari ini berkata, inisiatif tersebut bertujuan melindungi pengguna daripada panggilan scam, penyamaran identiti dan penipuan yang sering berlaku melalui penggunaan nombor SIM yang tidak disahkan atau disalahgunakan.

Ini bagi memastikan setiap nombor telefon mudah alih dipadankan kepada identiti yang sah dan dipercayai.

Katanya, dengan sokongan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan diselaraskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), langkah ini merangkumi tiga komponen utama, iaitu pengesahan nombor prabayar sedia ada (whitelisting), pendaftaran kad SIM baharu dan log masuk MyDigital ID ke aplikasi syarikat telekomunikasi.

Jelasnya, menerusi inisiatif tersebut, pengguna boleh menyemak semua nombor prabayar yang berdaftar di bawah nombor MyKad mereka bagi mengesahkan bahawa nombor-nombor tersebut benar-benar milik pengguna.

Langkah itu mampu menghalang penjenayah daripada menyalahguna nombor yang didaftarkan menggunakan MyKad yang dicuri atau tanpa pengetahuan pemilik.

Selain itu, semua kad SIM prabayar baru dibeli perlu disahkan melalui aplikasi syarikat telekomunikasi menggunakan MyDigital ID bagi memastikan nombor baru tidak boleh diaktifkan menggunakan maklumat pengenalan milik orang lain.

Pengguna juga boleh memilih untuk log masuk ke aplikasi syarikat telekomunikasi mereka menggunakan MyDigital ID yang mana kaedah berkenaan lebih selamat sekali gus dapat membantu mencegah pengambilalihan akaun, phishing dan akses tanpa kebenaran.

Menurut Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin, pelaksanaan inisiaif itu mungkin berbeza antara penyedia perkhidmatan.

“Ada yang memulakan dengan satu komponen dahulu, ada yang melaksanakan dua, manakala kesemua tiga komponen akan dilaksana secara berperingkat.

“Walau apapun gabungannya, matlamat inisiatif ini tetap sama iaitu memastikan penjenayah tidak lagi dapat menyeleweng kad SIM yang tidak disahkan sebagai laluan kegiatan jenayah mereka,” katanya.

Jelas beliau, MyDigital ID memainkan peranan penting kerana proses pengesahan identitinya merujuk terus kepada rekod rasmi Kerajaan yang diselia oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Inisiatif yang membabitkan pelbagai pemegang taruh ini turut memperkukuhkan pelaksanaan Pelan Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030 yang diterajui NACSA, bagi memastikan ekosistem siber negara kekal selamat dan berdaya tahan daripada ancaman semasa dan akan datang.

“Kami amat menghargai bantuan SKMM dalam mempermudah cara dan menyelaras inisiatif nasional ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, dengan menggunakan identiti digital yang sah, pihak berkuasa dapat mengurangkan risiko jenayah sebegini, memperkukuh kepercayaan digital dan meningkatkan keselamatan, di samping mengurangkan ketirisan dalam ekonomi digital.

“Nombor telefon sering disalahguna untuk jenayah scam dan penipuan identiti. Malah, laporan berita pada awal tahun ini menunjukkan bahawa jumlah panggilan scam pada 2024 mencecah 2.98 juta, iaitu hampir dua kali ganda berbanding 1.63 juta pada 2023.”

“Kami juga sedar bahawa privasi dan keselamatan data adalah kebimbangan utama pada masa kini. Ada yang bimbang identiti digital boleh digunakan untuk memantau, menjejak, atau menyimpan maklumat peribadi mereka.

“Hakikatnya, MyDigital ID tidak berfungsi sebegitu. Ia tidak menyimpan data pengguna, menjejak aktiviti dalam talian, atau mengumpul maklumat baharu. Peranannya hanya untuk mengesahkan identiti seseorang apabila mereka memilih untuk log masuk ke sesuatu perkhidmatan,” katanya.

Tambah beliau, semua itu dilakukan hanya dengan persetujuan dan kawalan penuh pengguna.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara penggunaan MyDigital ID mengikut syarikat telekomunikasi masing-masing, pengguna dinasihatkan untuk merujuk dan melayari laman web penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang dilanggan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast