Kempen YEZ 2025 yang dilancarkan di Setiawasang, Kuala Lumpur sempena Karnival Usahawan Al-Falah MADANI, anjuran MAIWP pada 30 Nov 2025 dihadiri (dari kiri) : Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, dan Ahli MAIWP, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Year End Zakat 2025 (YEZ 2025) bagi menggalakkan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan menunaikan zakat selewat-lewatnya 31 Disember ini.

Katanya, kempen tahunan bermula 1 November lalu menawarkan pelbagai perkhidmatan, pengisian, aktiviti dan kemudahan kepada orang ramai dan syarikat untuk membayar zakat melalui PPZ-MAIWP dengan lebih teratur, cepat dan selamat.

“YEZ 2025 mengangkat tema “Akhirnya Sempurna” bagi menzahirkan ibadah zakat sebagai kesempurnaan dalam memenuhi tuntutan terhadap Allah S.W.T dan tuntutan sesama manusia.

“Zakat menjadi jambatan yang menghubungkan spiritual dan kemanusiaan yang memuliakan ibadah, pada masa yang sama mengangkat martabat golongan yang memerlukan. Kesempurnaan ibadah itu hadir apabila kita memenuhi kedua-duanya,” kata PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mereka yang menunaikan zakat sepanjang tempoh kempen ini turut berpeluang merebut lebih 1,300 hadiah istimewa termasuk pakej Umrah, pakej percutian, thermomix, emas gold bar, mesin kopi dan pelbagai lagi.

Pemenang akan dipilih melalui cabutan dan tertakluk kepada terma dan syarat.

Bagi menghangatkan lagi kempen tersebut pelbagai pengisian telah disusun sebagai nilai tambah kepada para pembayar zakat antaranya pembukaan kaunter PPZ-MAIWP tujuh hari seminggu sepanjang Disember.

Ini termasuk lanjutan waktu kaunter sehingga 9 malam bermula 22-31 Disember 2025 selain menyediakan laluan ekspres bagi mereka yang telah membuat temujanji.

Aktiviti Hari Bersama Pembayar pula menyediakan jamuan dan cenderamata instimewa buat pembayar zakat pada setiap Jumaat dan 10 hari terakhir bulan Disember.

Antara penaja bersama dan rakan kolaborasi yang hadir bagi Pelancaran Kempen YEZ 2025. (Dari kiri) Merchant Nine Sdn Bhd, Top Global Food and Beverages Sdn Bhd, Chef Kecik Sdn Bhd, Deep Faith.Co dan Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd.

Selain itu, PPZ-MAIWP akan mengadakan Jelajah Kaunter Zakat dan Wakaf bergerak serta program Fuel Your Zakat di beberapa lokasi tarikan dan stesen minyak sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya bersama selebriti undangan dengan tawaran pelbagai hadiah menarik.

PPZ-MAIWP juga akan bersiaran secara langsung dan menerusi podcast untuk berborak santai mengenai zakat dan wakaf bersama panel serta jemputan istimewa.

Sementara itu, bagi pelanggan korporat pula, YEZ Corporate Talk yang merupakan seminar dan taklimat khas bersama majikan, syarikat dan lain-lain akan diadakan bagi memberi pencerahan mengenai zakat dan wakaf.

Program Santai Keluarga @ Kaunter pula akan diadakan di kaunter PPZ-MAIWP yang terpilih pada 10 hari terakhir Disember dengan menyediakan jamuan, aktiviti bersama kanak-kanak, booth rakan strategik dan pelbagai tawaran menarik lain.

Sementara itu, 10,000 pembayar yang membuat bayaran zakat harta minimum RM100 di semua cawangan kaunter PPZ-MAIWP akan diberikan beg membeli-beli belah dan kalendar 2026.

Sepanjang kempen ini juga, PPZ-MAIWP turut menawarkan pelbagai perkhidmatan dan saluran bayaran bagi memastikan urusan dibuat dengan lebih pantas, selesa dan selamat antaranya menerusi kaunter PPZ-MAIWP; portal PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my untuk semak, kira dan bayar zakat; aplikasi MyZakat; Amil to You (Kaunter Zakat Bergerak), Ride2U & Kaunter Zakat Digital.

“PPZ-MAIWP menyarankan agar orang ramai dapat merancang lebih awal dan mengunakan saluran pembayaran terbaik sama ada fizikal atau secara atas talian bagi mengelakkan kesesakan pada minggu akhir Disember,” katanya lagi.

Menurut PPZ-MAIWP, pengguna boleh membuat tempahan temujanji menerusi mytemujanji.zakat.com.my manakala pengguna yang mahu melakukan semakan, kiraan atau membayar zakat boleh menggunakan kaedah Zakat On Call dengan menghubungi talian hotline 1-300-88-5757.

Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi kaunter, kempen berkaitan atau pertanyaan zakat & wakaf, orang ramai boleh menghubungi 1300-88-5757 atau layari media sosial rasmi PPZ-MAIWP.

Tambahnya, pembayaran zakat juga boleh dibuat melalui ejen-ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP seperti perbankan internet, kaunter bank, pos, e-Wallet, firma-firma dan lain-lain.

Kempen YEZ 2025 dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar di Aeon Mall AU2, Setiawangsa sempena Karnival Usahawan Al-Falah MADANI, anjuran MAIWP, semalam.

Dalam pada itu, PPZ-MAIWP turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama, Klinik Anda 24 Jam atas komitmen, sokongan dan sumbangan yang diberikan dalam memastikan kelancaran penganjuran kempen tersebut.

Penghargaan turut diberikan kepada kepada Top Global Food and Beverages Sdn Bhd, Merchant Nine Sdn Bhd dan Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd selaku penaja bersama.

Menurut PPZ-MAIWP, kempen YEZ 2025 turut melibatkan dua rakan strategik iaitu Deep Faith.Co dan Chef Kecik yang berperanan dalam memperluas capaian kempen serta menggalakkan penyertaan masyarakat melalui pelbagai aktiviti dan inisiatif sepanjang berlangsungnya YEZ 2025. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast