JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menyangkal dakwaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor berhubung prosedur Baitulmal dalam bantuan asnaf yang dikatakan mempunyai kerenah biokrasi dan dijadikan alat politik.
Naib ketuanya, Dr Aswad Ithnain berkata, kaedah pengesahan oleh ketua kampung untuk asnaf yang layak bukan perkara baharu malah telah diamalkan sejak sekian lama.
“Ketua kampung memang diberi amanah untuk mengetahui keadaan penduduk di kawasan mereka. Pengesahan ini bukan untuk menyusahkan tetapi bagi mengelak kesilapan maklumat, pertindihan bantuan dan memastikan ketepatan data asnaf.
“Pelik apabila prosedur yang telah berpuluh tahun berjaya dilaksanakan, kini tiba-tiba dipertikaikan,” katanya dalam kenyataan.
Kedua kata Aswad, dakwaan ketua kampung lambat memberi respons juga bukan isu dalam bidang kuasa Baitulmal.
Jelasnya, ketua kampung mempunyai ahli jawatankuasa (AJK) yang membantu mereka dan sistem sokongan ini sepatutnya memastikan kelicinan kerja.
Jika terdapat kelemahan individu tertentu, perkara tersebut harus ditangani pada peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bukan menyalahkan prosedur Baitulmal yang sememangnya standard nasional.
Ketiga pula proses pengesanan asnaf di Johor tidak bergantung kepada satu pintu semata-mata.
Johor menggunakan sistem bersepadu seperti e-Kasih di mana setiap penemuan baru asnaf dibincangkan di peringkat daerah dan negeri, katanya.
“Dengan pemantauan pelbagai agensi dan rujukan silang data, ketirisan atau salah guna kuasa hampir mustahil berlaku sekiranya semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.
Keempat, katanya, tuduhan Pejuang kononnya wujud birokrasi sempit menunjukkan ketiadaan pemahaman terhadap ekosistem kebajikan yang telah terbukti berkesan di Johor.
Kaedah tersebut telah membantu ribuan asnaf setiap tahun melalui proses yang telus, teratur dan disemak melibatkan banyak peringkat.
Tegas Aswad, melabelnya sebagai birokrasi hanya kerana tidak memahami mekanismenya adalah satu kenyataan yang tidak adil.
Kelima, katanya, pelantikan ketua kampung sebagai amil agihan zakat jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri mengiktiraf ketua kampung sebagai pihak yang paling dekat dan paling memahami situasi rakyat di lapangan.
“Peranan ini inklusif merangkumi pengesanan asnaf, pemantauan dan pengesahan. Ia bukan kuasa mutlak tetapi sebahagian daripada rangka kerja keseluruhan yang memastikan bantuan sampai kepada mereka yang layak.
“Kesimpulannya, sistem sedia ada bukan penghalang bantuan malah telah membentuk satu rangka kerja kukuh yang mengelakkan salah guna kuasa dan memastikan setiap asnaf menerima bantuan secara adil dan tepat,” tambahnya.
Terdahulu Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman dilaporkan mendakwa, Baitulmal Johor wajar melonggarkan syarat permohonan bantuan asnaf dengan mengurangkan biokrasi bagi mengelak salah guna kuasa dan menjurus kepada pihak yang berkepentingan.
Menurut Suraya, ia kerana terdapat rungutan masyarakat berhubung amalan Baitulmal yang didakwa hanya mengiktiraf pengesahan ketua kampung dalam proses permohonan bantuan.
Jelas beliau, ia termasuk bantuan baik pulih rumah bagi golongan asnaf dan prosedur tersebut menyukarkan permohonan termasuk mereka yang benar-benar layak.
“Pejuang Johor berpendirian pintu bantuan kepada asnaf tidak wajar disempitkan dengan prosedur yang terlalu rigid dan bergantung kepada satu individu sahaja.
“Ini kerana realitinya pelbagai pemimpin komuniti seperti imam, pengerusi kariah masjid dan ketua-ketua kawasan turut mengetahui keadaan sebenar penerima yang memerlukan,” ujar Suraya. – MalaysiaGazette
















