KOTA TINGGI – Kerajaan Johor akan mengambil beberapa langkah membantu 81 daripada 150 nelayan yang terjejas pendapatan akibat pencemaran Sungai Johor di sini pada Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, jumlah berkenaan melibatkan nelayan dari beberapa perkampungan berdekatan.
“Bagi peringkat awal, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Johor akan melepaskan 10,000 benih ikan pada 11 Disember ini di Sungai Linggiu yang menjadi sasaran kumpulan nelayan darat di kawasan itu ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
“Usaha melepaskan benih ikan di Sungai Linggiu dijalankan atas permintaan kumpulan nelayan sementara kesan akibat pencemaran Sungai Sayong Pinang pulih,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, di Sungai Linggiu yang juga bersambung dengan Sungai Johor turut menjadi pilihan bagi program pelepasan benih ikan pada Mac tahun depan.
Pihaknya berharap usaha berkenaan membantu kumpulan nelayan terjejas bagi menjana pendapatan.
“Malah demi meringankan beban kumpulan nelayan terjejas, bantuan sara hidup RM300 secara one off daripada kerajaan negeri turut dipertimbangkan,” katanya.
Pada 31 Oktober lalu, portal ini melaporkan tiga kampung terjejas akibat pencemaran melibatkan Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kampung Orang Asli Pasir Intan dan Kampung Orang Asli Kempas Menang.
Pencemaran dipercayai berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Kejadian menjejaskan aktiviti kumpulan nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor selain mengakinatkan gangguan bekalan air di empat daerah termasuk di Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi.
Pencemaran itu menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) yang mengambil sumber air mentah dari Sungai Johor terjejas melibatkan 1.8 juta pengguna di Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.- MalaysiaGazette
















