GEORGE TOWN – Polis mengesahkan punca kematian seorang operator kilang dalam kemalangan van di Jalan Mount Erskine di sini awal pagi tadi disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.
Dalam kejadian 5.55 pagi, mangsa dikenali sebagai Norehan Abdul Ghani, 50, dilaporkan maut di lokasi kejadian selain tercampak keluar daripada van yang dinaikinya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, perkara itu diputuskan selepas bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Hasil laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian kepala yang konsisten dengan kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai kejadian, Abdul Rozak berkata, kemalangan berlaku ketika van yang dipandu lelaki berusia 59 tahun dari arah Teluk Bahang menuju ke Bayan Baru hilang kawalan sebelum melanggar tembok di bahagian kanan jalan.
“Akibat kejadian itu, penumpang wanita berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu dan enam lagi wanita berumur 21 hingga 53 tahun mengalami kecederaan pelbagai tahap masih menerima rawatan di HPP.
“Kita masih menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap punca kemalangan itu berlaku dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kemalangan yang berlaku,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Seorang maut, tujuh parah van kilang terbabas di Mount Erskine
Terdahulu, media melaporkan perjalanan sekumpulan pekerja kilang di Bayan Lepas berakhir dengan tragedi apabila van yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Mount Erskine di sini.
Impak kejadian itu menyebabkan seorang wanita maut di lokasi manakala tujuh lagi termasuk pemandu mengalami kecederaan parah. – MalaysiaGazette















