KLUANG – Pasangan tunang yang dicekup berkhalwat di sebuah hotel, di sini, semalam memberi alasan mahu menyelesaikan persiapan terakhir berkenaan majlis perkahwinan mereka bulan depan.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memberitahu, alasan tersebut tidak berjaya mengaburi mata pihak penguat kuasa untuk memberkas pasangan berkenaan.
Pihak JAINJ melakukan serbuan tersebut kira-kira pukul 1.30 pagi membabitkan pasangan berkenaan masing-masing berusia lingkungan 20-an.
“Wanita itu pada awalnya mendakwa dia berada seorang diri, namun selepas lampu bilik dibuka dan pemeriksaan lanjut dibuat, seorang lelaki memakai kemeja-T dan seluar panjang ditemui dalam keadaan menyorok di bawah meja di satu sudut bilik.
“Bilik itu didaftarkan atas nama wanita berkenaan yang datang dari sebuah negeri lain manakala lelaki terbabit menetap di daerah ini. Kedua-duanya mengaku mereka adalah pasangan tunang,” menurut kenyataan JAINJ.
Pasangan itu memaklumkan mereka bertemu di daerah ini bagi menyelesaikan persiapan terakhir menjelang majlis perkahwinan mereka bulan depan.
Wanita berkenaan dikatakan terlebih dahulu bertandang ke rumah keluarga lelaki terbabit sebelum lelaki itu menghantarnya ke hotel.
Menurut keterangan lanjut, lelaki itu mendakwa pada awalnya hanya menumpang tandas sebelum bermalam bersama-sama memandangkan keesokan harinya mereka perlu pulang semula ke kampung dan tempat kerja masing-masing.
Pasangan itu ditangkap atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.- MalaysiaGazette
















