JOHOR BAHRU – Seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta suapan untuk tidak melaporkan aktiviti penyeludupan rokok di Kota Tinggi.
Tertuduh, Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf di Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia, Leftenan Kolonel Kamarulzaman Ali, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai secara rasuah meminta suapan wang tunai RM1,500 untuk setiap trip penyeludupan rokok yang berjaya mendarat di perairan selatan Johor melalui dua individu.
Tindakan berkenaan sebagai suatu dorongan agar tertuduh tidak melaporkan aktiviti penyeludupan rokok di daerah Kota Tinggi yang sepatutnya dilaporkan mengikut tugasannya.
Kesalahan dilakukan di Warung Lobster, Teluk Ramunia, 81620 Pengerang, Kota Tinggi, pada Oktober 2022.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), A’thirah Mohd Azuarizanuddin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan ini tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun peguam, S Sangkari yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dibenarkan atas beberapa faktor termasuk tertuduh yang masih bertugas dan menanggung ibu yang uzur, isteri dan anak berusia 21 tahun masih belajar di Institusi Pendidikan Tinggi.
“Tertuduh mempunyai gaji bersih RM6,204. Pihak kami juga memohon agar pasport tertuduh tidak ditahan mahkamah berikutan tiada kebarangkalian tertuduh melarikan diri dan jika tertuduh mempunyai tugasan ke luar negara, pergerakannya akan dimaklumkan kepada mahkamah.
“Pihak peguam juga memohon agar tertuduh diberi jaminan yang munasabah RM10,000,” hujahnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta perlu melaporkan diri sebulan sekali tanpa gagal di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Dalam pada itu A’thirah dalam permohonannya terhadap mahkamah meminta kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948 berikutan tertuduh juga telah didakwa dengan satu lagi pertuduhan rasuah di mahkamah berkenaan pada 31 Oktober lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah SPRM Kuala Lumpur.- MalaysiaGazette
















