ISKANDAR PUTERI – Tular satu kemalangan membabitkan sembilan kenderaan dan mengakibatkan enam penunggang motosikal cedera di kilometer 44, Lebuh Raya Sultan Iskandar di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, paparan video berdurasi lapan saat yang tular dalam media sosial itu menunjukkkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan dan enam motosikal.
“Kejadian dipercayai berlaku pukul 7.10 malam semalam. Setakat ini pihak polis menerima tiga aduan pemandu kenderaan berusia antara 20 hingga 38 tahun.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan enam penunggang motosikal mengalami kecederaan di tangan, kaki dan muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada semasa kejadian penunggang motosikal terlibat sedang merempit.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi pejabat pertanyaan Bahagian Siasatan Polis Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri 07-5101322.- MalaysiaGazette
















