KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil peguam yang mewakili individu yang sedang disiasat sebagai pencerobohan hak asasi kepada sistem perundangan.
Presidennya, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, keistimewaan profesionalisme undang-undang membolehkan pelanggan meluahkan secara terbuka kepada peguam dan mendedahkan maklumat sensitif secara rahsia supaya nasihat undang-undang yang sewajarnya dapat diberikan.
Langkah SPRM dilihat membimbangkan kerana jika keistimewaan itu terhakis, keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan dan profesion undang-undang pasti akan merosot.
“Badan Peguam Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan SPRM baru-baru ini yang secara langsung melanggar Seksyen 46 Akta SPRM 2009.
“Sebarang percubaan untuk memintas perlindungan ini adalah tidak konsisten dengan niat jelas Parlimen dan menjejaskan kedaulatan undang-undang,” ujarnya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook hari ini.

Terdahulu, seorang pengamal undang-undang menjelaskan, tiada peguam boleh diminta mendedahkan atau mengemukakan maklumat penting berhubung siasatan melainkan melalui perintah Mahkamah Tinggi.
Peguam, Vivek Sukumaran berkata, Seksyen 30 akta itu memberi kuasa kepada agensi tersebut untuk memaksa penyerahan dokumen semasa siasatan, namun kuasa itu dihadkan oleh Seksyen 46 akta sama yang menghalang peguam mendedahkan maklumat ketika siasatan.
Agensi itu dalam kenyataannya berpendirian, tindakan memanggil peguam Mahajoth Singh dalam siasatan terhadap ahli perniagaan Albert Tei adalah wajar bagi membolehkan dokumen diserahkan untuk membantu siasatan.
Mohamad Ezri selanjutnya menjelaskan, Seksyen 46 Akta SPRM berfungsi sebagai `tembok’ berkanun melindungi kerahsiaan nasihat undang-undang yang menjadi asas kepada pentadbiran keadilan yang betul.
Ujarnya, ia jelas menyatakan bahawa pegawai penguat kuasa tidak boleh memaksa pengeluaran bahan istimewa, memeriksa atau membaca apa-apa dokumen atau meneruskan tanpa mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi.
Menurut Mohamad Ezri, badan itu sudah beberapa kali mengingatkan agensi tersebut berkaitan kepentingan melindungi keistimewaan profesionalisme undang-undang dan hak untuk mewakili individu.
“Hak untuk mendapatkan peguam dan keistimewaan profesionalisme undang-undang adalah asas kepada sistem perundangan yang adil dan saksama.
“Ia memastikan individu mendapat dan menerima nasihat undang-undang sulit tanpa rasa takut akan tindakan balas atau pelanggaran kerahsiaan,” demikian menurut kenyataan itu.
Ujarnya, oleh kerana perlindungan berkanun jelas dinyatakan dalam Seksyen 46, dokumen dan komunikasi istimewa mesti kekal di luar jangkauan agensi penguatkuasaan termasuk SPRM, melainkan dibenarkan secara jelas oleh anak guam atau menurut perintah khusus daripada Mahkamah Tinggi.
Mohamad Ezri seterusnya menyatakan, kebimbangan itu bukan perkara baharu kerana badan tersebut secara konsisten menekankan kepentingan melindungi bahan istimewa.
Ujarnya, ia termasuk menerusi Pekeliling Bilangan 096/2018 dan 250/20195 menangani pelepasan pengisytiharan yang diminta sebagai tindak balas kepada tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia untuk mendapatkan maklumat akaun pelanggan.
Menurut beliau, langkah-langkah tersebut menekankan pendirian badan itu yang telah lama konsisten iaitu komunikasi dan dokumen pelanggan adalah berharga dan tidak boleh diakses tanpa kebenaran yang sewajarnya.
Ujarnya, sebarang pelanggaran prinsip tersebut mengancam kedua-dua kedaulatan undang-undang dan integriti profesion perundangan.
Sehubungan itu, katanya, Badan Peguam bersedia untuk menyokong atau memulakan tindakan untuk menjaga integriti perwakilan undang-undang dan mempertahankan hak asasi individu mendapatkan nasihat guaman. – MalaysiaGazette















