BATU PAHAT – Seorang wanita di sini mencari adik kandung perempuannya yang meninggalkan rumah sejak lima tahun lalu.
Ang Kwee Ai, 54, berkata, adiknya Ang Kuay Eng, 52, keluar dari rumah pada Mac 2020 tanpa memaklumkan arah tujuan dan tidak dapat dikesan namun percaya wanita itu kini berada di Singapura atau Johor Bahru.
Katanya, ketika keluar dari rumah, adiknya itu telah meninggalkan seorang anak lelaki bernama Gavin Ang Jun Ming yang berusia lima tahun untuk dijaganya.
“Anak kepada adik saya itu telah dilahirkan di Hospital KK Women and Children’s, Singapura pada 31 Ogos 2015 dan kini sudah berusia 10 tahun namun masih belum mempunyai sebarang dokumen diri.
“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa menghantar dia ke sekolah persendirian di Batu Pahat untuk mendapatkan pelajaran kerana bimbang jika dibiarkan akan menjejaskan proses pembelajarannya pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui.
Menurut Kwee AI lagi, lebih membimbangkan, tidak lama lagi anak saudaranya itu akan mula belajar di sekolah menengah namun jika tidak mempunyai dokumen diri pasti akan menyukarkan mereka untuk menghantarnya ke sekolah.
Ujarnya, pencarian adik perempuannya itu juga adalah susulan daripada keadaan ibu dan ayahnya yang semakin uzur ketika ini serta memerlukannya untuk pulang walaupun hanya sekejap.
“Jika ada sesiapa yang mengenali adik saya, diharapkan dapat memaklumkan kepada saya di talian 017‑976 7168 untuk kami berjumpa semula dan menyelesaikan semua urusan berkaitan anak lelakinya itu,” katanya.- MalaysiaGazette
















