KUALA LUMPUR – Empat lelaki termasuk tiga warga asing ditahan selepas bertindak samseng dan pembuli jalan dengan memukul seorang lelaki warga Pakistan dekat kawasan Ampang Lookout Point, Bukit Ampang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 18 hingga 40 tahun itu dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Katanya, mangsa telah membuat laporan pada 14 November lalu sekitar jam 11 malam selepas dia bersama dua rakannya menaiki kereta dan berhenti di lampu isyarat.
“Tiba-tiba datang seorang suspek tidak dikenali menjerit dan bertindak agresif dengan cuba menahan keretanya.
“Setelah lampu isyarat bertukar hijau, suspek mengekori kereta mangsa dan seterusnya menghalang kenderaannya di kawasan Ampang Lookout Point.
“Di lokasi kejadian, suspek mendakwa dirinya sebagai anggota Kementerian Pertahanan dan cuba menunjukkan kad kuasa.
“Tidak lama kemudian, kira-kira 25 lelaki mengelilingi mangsa dan rakan-rakannya serta bertindak menyerang mereka secara fizikal, menyebabkan kecederaan serta kerosakan pada kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan ke atas suspek mendapati mempunyai dua rekod lampau manakala tiga lagi suspek tiada.
“Suspek pertama telah direman selama enam hari bermula 27 November sehingga hari ini manakala suspek kedua hingga keempat direman tiga hari bermula Ahad lalu hingga hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















