Bung Moktar Radin dan Abdul Rahman Dahalan.

KUALA LUMPUR – Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan ramai terhadap kredibiliti Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Keputusan PRN yang tidak memberangsangkan di bawah kepimpinan beliau dilihat tamparan hebat yang mungkin mengakhiri dominasi politik peribadinya.

Ada beberpa faktor utama menyumbang kepada kemerosotan prestasi BN dan kedudukan Bung yang dilihat sekali gus meningkatkan spekulasi BN Sabah memerlukan kepimpinan baharu.

Mereka dikatakan mahu sosok yang lebih diterima ramai dan nama Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan disebut-sebut.

Keputusan PRN menyaksikan BN Sabah gagal mencapai sasaran yang ditetapkan malah kehilangan sokongan signifikan walaupun mempertaruhkan nama-nama besar seperti Datuk Seri Dr Salleh Keruak, Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Mohd Suhaimi Nasir.

Biar pun Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag namun kegagalan menyeluruh di peringkat negeri telah ‘menenggelamkan’ pencapaian peribadi tersebut.

Lebih terkesan apabila ada pihak mendakwa Bung Moktar tidak turun membantu kempen di kawasan-kawasan calon BN yang lain di 45 DUN dan hanya menumpukan di Lamag sahaja.

Bung Moktar ketika berkempen di Lamag pada PRN Sabah baru-baru ini. (GAMBAR FAIL).

Ia antara penyebab Bung Moktar dilihat semakin lemah dan gagal mengemudi BN Sabah.

Ditambah lagi, majoriti yang diperolehnya juga amat memeranjatkan – hanya 153 majoriti – agak kontroversi apabila wujud pertikaian daripada calon bebas Miha @ Mohd Ismail.

Ahli-ahli parti peringkat akar umbi dan beberapa pemimpin senior mula dilihat mendesak agar peralihan kuasa berlaku serta wujud desakan dalaman agar Pengerusi UMNO Sabah itu melepaskan jawatannya.

Mereka percaya imej dan hala tuju UMNO di Sabah perlu diperbaharui dan pengemudi seperti Abdul Rahman dilihat mampu membawa visi lebih segar dan mengurangkan polarisasi politik.

Kepimpinan Bung Moktar juga dikatakan dibebani dengan isu mahkamah yang melibatkan beliau dan isteri, Datin Seri Zizie Ezzette yang diperintah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta sebelum ini.

 

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2025. (GAMBAR FAIL).

Meskipun undang-undang membenarkan beliau memimpin, isu mahkamah secara tidak langsung memberi kesan kepada persepsi pengundi dan kredibiliti.

Bukan hanya itu, terdapat juga penolakan terbuka terhadap Bung Moktar daripada beberapa kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mana tidaknya, ketika kempen PRN, Bung Moktar dengan lantang menyatakan keengganan untuk bekerjasama malah melabelkan GRS sebagai parti gagal dan menipu.

Ironinya, selepas PRN dan menyedari kegagalan BN mencapai majoriti, Bung Moktar mengeluarkan kenyataan sebaliknya dengan menyatakan sokongan kepada GRS.

Perubahan pendirian yang drastik itu dilihat merosakkan imej politiknya dan mengukuhkan tanggapan beliau tidak konsisten dalam memperjuangkan agenda politik.

Inilah antara sebab Bung Moktar dilihat sangat sukar untuk bekerjasama dengan GRS menjadikan rundingan masa hadapan agak bermasalah.

BN Sabah perlu perubahan   

Sementara itu, ramai berpendapat, UMNO Sabah kini berada di persimpangan jalan dan memerlukan seorang pengerusi yang bersih dari sebarang kontroversi.

Ia dalam masa sama akan mengurangkan keraguan akar umbi dan memudahkan kerjasama dengan sekutu politik yang lain termasuk dengan GRS.

Lebih-lebih lagi, Adul Rahman antara figura yang mempunyai hubungan baik dengan Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Kebolehan Abdul Rahman untuk berunding dan bekerjasama dengan GRS adalah penting bagi memastikan kestabilan politik di Sabah.

Dikhabarkan juga, salah seorang daripada enam ADUN Sabah yang dilantik adalah daripada kem Abdul Rahman.

Ia sudah tentu ada kena mengena dengan hubungan baik Abdul Rahman dengan Hajiji.

Mengimbas hubungan antara Abdul Rahman dan Bung Moktar pula ia dilihat seperti hubungan mereka tidak mesra.

Pada awalnya, nama-nama calon BN untuk PRN, Abdul Rahman yang diletakkan di DUN Sulaman sedangkan ia kawasan ‘maut’ kerana terpaksa berdepan dengan kubu kuat Hajiji.

Selepas itu, Abdul Rahman terus menjadi ‘mangsa’ apabila diletakkan di Tempasuk yang mana penyandang di situ, Datuk Mohd Arsad Bistari merupakan sahabat baik kepada Abdul Rahman sendiri.

Ada pihak berpendapat, meletakkan Abdul Rahman di kawasan itu seolah-oleh ingin membunuh kerjaya politiknya.

Akhirnya, beliau menarik diri daripada bertanding dan Bung Moktar meletakkan calon muda iaitu Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azwan Norjan, tiga hari sebelum hari penamaan calon.

Rentetan itu, mula dilihat penolakan terhadap Bung Moktar oleh beberapa kepimpinan parti UMNO.

Abdul Rahman yang berpengalaman peringkat Persekutuan dilihat mempunyai pengalaman dan keupayaan diplomatik yang diperlukan untuk membina semula kekuatan UMNO di Sabah.

Kesimpulannya, kekalahan teruk BN dalam PRN Sabah bukan sahaja mencerminkan penolakan terhadap kepimpinan Bung Moktar tetapi juga satu petunjuk jelas politik peribadi yang bercanggah dengan majoriti parti tempatan seperti GRS tidak lagi mendapat tempat.

Perubahan Pengerusi UMNO Sabah mungkin merupakan langkah yang tidak dapat dielak bagi memastikan parti itu kekal relevan dalam landskap politik Sabah yang kini semakin didominasi oleh GRS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast