GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng menyifatkan hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menuntut Pulau Pinang ibarat tuntutan Sulu terhadap Sabah.

Beliau berkata, tindakan Muhammad Sanusi berdiam diri berhubung negeri Perlis yang asalnya juga milik Kedah sebelum merdeka turut menimbulkan persoalan.

“Kenapa hanya menumpukan perhatian terhadap Pulau Pinang? kerana negeri ini mempunyai daya huni tinggi dan pendapatan per kapita jauh lebih tinggi berbanding Kedah.

“Selain itu, Pulau Pinang mempunyai pendapatan negara kasar per kapita (PNK) sebanyak RM75,700, manakala Kedah hanya RM27,200, iaitu di bawah purata nasional,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, Muhammad Sanusi mengimpikan peranan sebagai penjajah seperti British dahulu, namun terdapat perbezaan ketara.

“British menjajah negeri ini ketika ia masih mundur, kemudian membangunkannya dengan pelabuhan antarabangsa, perancangan bandar moden, sekolah dan hospital terawal, menjadikan Pulau Pinang lebih maju berbanding Kedah.

“Muhammad Sanusi pula, bercita-cita menjajah negeri yang sudah sedia maju, sedangkan beliau gagal memajukan Kedah sendiri,” katanya.

Media semalam melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan perancangan Kedah dalam isu tuntutan ke atas Pulau Pinang adalah melebihi daripada cadangan menjadikan negeri itu sebagai Wilayah Khas.

Jelas beliau, pihaknya mempunyai rancangan ‘lebih besar’ apabila mengumumkan akan memulakan tindakan undang-undang di mahkamah berkaitan isu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan apa yang bakal dilakukan Kedah tidak boleh diumumkan semuanya kerana ia akan mendedahkan perancangan teliti yang dibuat pasukan pengkaji dan peguam dilantik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast