Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar bercakap pada sidang media berikutan kejayaan Polis Di Raja Malaysia menumpaskan stor penyimpanan dan pembungkusan vape campuran dadah di sekitar Klang dan Sindiket atas talian “call centre” di IPK Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 DISEMBER 2025

SHAH ALAM – Mangsa lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di Taman Mesra Indah, Klang, tiga hari lalu didapati mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesalahan terbabit melibatkan Seksyen 15 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Setakat ini masih belum ada tangkapan dilakukan. Polis akan menyiasat dari semua aspek. Kita masih di peringkat awal dan tidak wajar menjurus kepada mana-mana sudut tertentu,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa berusia 26 tahun itu adalah akibat lima das tembakan jarak dekat yang mengenai bahagian dadah.

Mengulas kemungkinan insiden tersebut mempunyai kaitan dengan kejadian tembak di Bukit Tinggi, Klang pada 7 November lalu, Shazeli menjelaskan bahawa setakat ini kedua-dua kes berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan.

“Bagi kes tembak di Bukit Tinggi, seorang suspek yang ditahan sebelum ini telah diberikan jaminan polis kerana siasatan mendapati tiada keterangan untuk mengaitkannya dengan kejadian tersebut. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

Pada 30 November lalu, Polis Selangor mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian tembakan di Taman Mesra Indah. Media sebelum ini melaporkan bahawa mangsa, seorang lelaki tempatan, ditemukan maut di tempat duduk hadapan sebuah kenderaan pacuan empat roda oleh orang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast