Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Pahang, Mohamad Shukor Mahmud (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar (dua dari kiri) melawat reruai di Program Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) peringkat negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2025 di Swiss-Belhotel, di sini hari ini.

KUANTAN – Semua pegawai di agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang diseru terus melaksanakan tugas dengan amanah dan berani menolak budaya rasuah bagi memastikan eksosistem pentadbiran yang bersih.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohamad Shukor Mahmud turut menyarankan agar sistem audit, kawalan dalaman dan urus tadbir diperkukuh untuk mencegah risiko rasuah.

“Barisan kepimpinan kerajaan negeri Pahang juga diseru menjadikan integriti sebagai komponen wajib dalam semua dasar, projek dan keputusan pentadbiran.

“Kejayaan integriti memerlukan penyelarasan kukuh antara kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sektor perniagaan dan industri, Institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) peringkat negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2025 di Swiss-Belhotel, di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar itu turut dihadiri Penasihat Undang-Undang Pahang, Datuk Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; Pegawai Kewangan Pahang, Datuk Fadzilla Salleh; Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan barisan Exco negeri Pahang.

Mohamad Shukor dalam pada itu berkata, SPRM Pahang akan terus memperkukuh program outreach, sesi libat urus, latihan integriti dan usaha advokasi agar seluruh sektor di negeri ini menjadi sebahagian ekosistem pentadbiran yang bersih.

Beliau berkata, ia selaras dengan inisiatif “Keep Malaysia Clean” yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Oktober lepas dalam usaha membina budaya anti-rasuah di negara ini.

“Kerajaan negeri Pahang merupakan antara negeri yang menunjukkan komitmen tinggi dalam aspek tadbir urus khusus melalui peluasan program pendidikan integriti di jabatan-jabatan negeri serta sokongan berterusan kepada SPRM dalam aspek advokasi, pencegahan dan penguatkuasaan,” tambahnya.

Justeru, beliau percaya Pahang mampu menjadi negeri peneraju dalam pelaksanaan Strategi Pembanteran Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast