Ab Rahaman menyerahkan sijil penghargaan kepada penerima dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Padang Kawad, IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil sepenuhnya siasatan kes kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad yang mengesahkan perkara tersebut memberitahu, ia susulan arahan terbaharu Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan semula kes berkenaan daripada mati mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Keputusan ini selari dengan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah JSJ Bukit Aman semalam. Siasatan dijalankan sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan bukan lagi disiasat oleh Kontinjen Johor.

“Peguam Negara telah mengarahkan siasatan ini daripada mati mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mati dibunuh.

“Mengenai proses siasatan dan langkah seterusnya, saya tidak dapat memberikan butiran lengkap kerana ia berada di bawah bidang kuasa Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Johor Bahru di sini hari ni.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian ahli kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendengar taklimat mengenai hasil laporan siasatan yang dibuka PDRM berhubung kematian Syamsul Haris.

“Setelah ditaklimatkan dan meneliti hasil Laporan Siasatan tersebut, jabatan telah mengarahkan kes kematian ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk siasatan selanjutnya oleh pihak PDRM,” menurut AGC dalam satu kenyataan.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada 28 Julai, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast