KUALA LUMPUR – Polis menahan sepasang kekasih kerana memiliki pelbagai jenis dadah dalam Ops Tapis di sebuah hotel di Chow Kit, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Dang Wangi kira-kira pukul 3 pagi di sebuah hotel di Lorong Haji Hussien 1.
“Lelaki dan wanita itu ditahan di sebuah bilik tingkat empat hotel berkenaan sebelum polis menemukan sebuah beg berzip hitam yang menyimpan dadah pelbagai jenis.
“Antara dirampas melibatkan dua paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 17.76 gram, dua paket mengandungi empat tiub straw heroin seberat 15.62 gram, 10 biji pil disyaki Erimin 5 seberat 3.12 gram serta lapan biji pil yaba seberat 0.88 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, keseluruhan rampasan dadah itu dianggar bernilai RM2,664.10.
Beliau menjelaskan, siasatan mendapati, lelaki terbabit memiliki 16 rekod dadah dan empat rekod jenayah, manakala wanita berusia 41 tahun itu mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah.
“Ujian saringan awal air kencing dua suspek itu positif dadah,” katanya.
Pasangan itu kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – MalaysiaGazette
















