KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung kes klip video perbualan melibatkan seorang wanita dengan ahli perniagaan bernama Albert Tei yang didakwa tohmahan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kini diambil alih oleh Bukit Aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan Dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan telah diambil alih oleh USJT, kita akan membantu mereka untuk menjalankan siasatan secara komprehensif,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Merentasi Cabaran, Memacu Kesejahteraan di Pusat Konvensyen HGH di sini, hari ini.
Pada Khamis lalu, SPRM membuat laporan polis berhubung klip video yang disiarkan di akaun Facebook.
Laporan itu dibuat pegawai SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya susulan dakwaan tohmahan dalam video perbualan melibatkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong Albert Tei.
Menurut sumber, laporan polis oleh pegawai SPRM dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa terbabit menyiasat dakwaan terbabit.
Sumber tersebut menambah, perbualan wanita dan ahli perniagaan sebagaimana dalam klip video terbabit berniat jahat.
Dalam kes berasingan, Fadil berkata, kertas siasatan berkaitan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana memiliki dadah, pada September lalu, telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Kita juga telah menerima laporan patologi daripada Jabatan Kimia bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
“Kertas siasatan itu juga telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan TPR berusia 30-an itu ditahan polis pada 23 September lalu selepas ujian saringan air kencingnya disahkan positif dadah.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek direman tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai proses merakam keterangan, manakala kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk arahan lanjut. – MalaysiaGazette
















