Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan beliau sebelum ini pernah cuba didekati ahli perniagaan, Albert Tei menerusi orang tengah.

Namun, menurut Ahli Parlimen Pandan berkenaan, beliau dari awal tidak berminat untuk berurusan dengan Albert kerana menilai ia hanya satu lagi contoh biasa pendedahan kes rasuah dalam politik negara.

Ujarnya, ia hanya mendedahkan ada pihak yang membayar dan menerima, dengan semua orang kemudiannya berpura-pura terkejut apabila kes itu terbongkar.

“Bagi saya, ini hanya “deal yang tak menjadi”, bukan cerita hero lawan penjahat.

“Albert tetap pemberi rasuah. Yang lain pula penerima rasuah.

“Bezanya, penerima ini ialah orang yang pegang jawatan awam dan dapat mandat rakyat.

“Jadi merekalah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan terlebih dahulu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, rakyat sudah pastinya tidak boleh menerima sekiranya hanya `broker’ (pemberi rasuah) sahaja yang dihukum, tetapi pihak yang menerima rasuah terlepas begitu sahaja.

Disebabkan itu, ujarnya, beliau tidak bersetuju apabila ada pihak yang cuba mengangkat Albert sebagai “whistleblower hero”.

“Whistleblower” sebenar ialah orang dalam sistem yang mendedahkan salah laku tanpa apa-apa kepentingan, sanggup ambil risiko atas dasar prinsip, bukan broker yang tersepit sebab duit tauke sudah bergerak,” katanya.

Albert sebelum ini mencetuskan kontroversi menerusi beberapa pendedahan yang didakwa perbuatan rasuah antaranya melibatkan beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Kemuncaknya adalah dakwaan Albert terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membabitkan sejumlah wang.

Awal hari ini, Albert bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan memberi suapan kepada Shamsul Iskandar berbentuk wang tunai, kelengkapan perabot dan barangan elektrik keseluruhan berjumlah RM176,829.03

Terdahulu di mahkamah sama, Shamsul Iskandar turut didakwa atas empat pertuduhan bersetuju menerima rasuah dan menerima suapan itu daripada Albert. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast