Ahli perniagaan, Albert Tei didakwa di atas pertuduhan rasuah ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 DESEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM176,829 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Albert, 37, didakwa memberi rasuah kepada Pengerusi Majis Pimpinan Negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka itu sebagai dorongan agar Shamsul Iskandar melakukan perbuatan berkaitan hal ehwal prinsipalnya selaku Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

Pertuduhan pertama, ahli perniagaan itu didakwa memberi rasuah RM100,000 kepada Shamsul Iskandar sebagai dorongan membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Tertuduh didakwa melakukan melakukan perbuatan itu pada 24 November 2023 di tempat letak kereta sebuah hotel di sini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/12/04/shamsul-iskandar-didakwa-4-pertuduhan-rasuah-berjumlah-rm176829/

Pertuduhan kedua, dia didakwa memberi suapan kelengkapan perabot dan barangan elektrik kepada Shamsul Iskandar berjumlah RM14,580 atas tujuan sama di antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini.

Pertuduhan ketiga, Albert turut didakwa memberi suapan berjumlah RM40,000 kepada Shamsul Iskandar selaku ejen Kerajaan Malaysia bagi membantu syarikatnya mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah. Kesalahan didakwa dilakukan pada 29 Januari 2024 di premis sama.

Pertuduhan keempat, dia didakwa memberi suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 untuk tujuan serupa di antara 26 Februari 2024 dan 5 Mac 2024 di sebuah rumah di Presint 14, Putrajaya.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Suzana Hussin membenarkan Albert diikat jamin RM70,000 dengan dua penjamin warganegara serta tiga syarat tambahan manakala tarikh sebutan pada 8 Januari tahun depan untuk serahan dokumen.

Syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali hingga kes selesai manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Suzana turut memerintahkan agar tertuduh tidak mengacau ganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon jaminan RM300,000 serta tiga syarat tambahan terhadap Albert.

Hujah pendakwaan, Albert yang menguruskan perniagaan di Singapura selain di Sabah dan Sarawak, berpotensi melarikan diri.

Menurut beliau, Albert kurang memberi kerjasama ketika siasatan selain berkecenderungan untuk mengacau ganggu saksi pendakwaan.

Selain Farah Ezlin, pendakwaan turut diwakili Datuk Ahmad Akram Gharib dan Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Sementara itu, peguam Latheefa Koya ketika berhujah mewakili Albert, menafikan anak guamnya tidak memberi kerjasama selain membuat kenyataan di media sosial.

Hujah beliau, isu Albert adalah pemberi maklumat (whistleblower) atau sama ada dia sepatutnya diberi perlindungan, bukan persoalan yang perlu diperdebatkan buat masa ini.

“Anak guam saya kini menghadapi pendakwaan bersama-sama dua pihak lagi di Sabah atas kesalahan hampir serupa dan terlibat mendedahkan perlakuan rasuah sejak Oktober 2024,” hujah beliau.

Menurut Latheefa, anak guamnya sudah menyerahkan pasport berkaitan kes di Sabah dan setakat ini tiada laporan ahli perniagaan itu gagal melapor diri di pejabat SPRM seperti yang diarahkan mahkamah.

Selain Latheefa, Albert turut diwakili peguam Eric Paulsen, Mahajoth Singh, N. Surendran dan Rajesh Nagarajan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast