[Gambar fail] Tangkap layar video serbuan pasukan Polis KL di sebuah spa yang menjadi lokasi aktiviti seks songsang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Amalan hubungan songsang bukan sekadar menolak hikmah yang terkandung dalam kejadian manusia, bahkan merosakkan struktur semula jadi manusia itu sendiri.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, hubungan sejenis adalah penyimpangan daripada fitrah semula jadi dan boleh mengakibatkan kekeliruan identiti serta masalah psikososial dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, budaya songsang apabila dinormalisasikan akan membawa implikasi besar antaranya hilangnya sifat malu (haya’) yang merupakan cabang iman.

Selain itu, tambahnya, amalan itu juga akan menyebabkan kecelaruan identiti dan gangguan nilai generasi muda; melemahkan maruah diri dan integriti moral seorang Muslim serta membuka ruang kepada normalisasi maksiat yang lain.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil. – Foto: JAKIM.

“Akhlak merupakan tunjang utama kekuatan ummah.

“Kemerosotan akhlak secara langsung akan meruntuhkan ketahanan moral dan spiritual masyarakat.

“Dalam konteks kerangka Maqasid Syariah, amalan hubungan sejenis (songsang) membawa implikasi negatif yang serius terhadap dua aspek kritikal pembinaan negara iaitu pemeliharaan dan keteguhan agama serta pemeliharaan dan kestabilan Sosial serta tamadun,” katanya menerusi Tinta Mufti semalam.

Sementara itu, Fauwaz mengingatkan kestabilan dan kemajuan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi, tetapi lebih utama pada kekuatan institusi kekeluargaan dan moral yang dipegang teguh oleh setiap rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah-langkah komprehensif yang perlu diambil bagi membendung gejala itu antaranya pengukuhan pendidikan yang didasarkan kepada ilmu dan kefahaman syariah mendalam.

Selain itu, ujarnya, institusi kekeluargaan perlu diperkasa sebagai benteng utama; melaksanakan penerangan agama secara bijaksana, berhikmah dan berkesan dan mewujudkan kerjasama yang erat antara ibu bapa, masyarakat serta pihak berkuasa.

Dalam masa sama, tambahnya, dasar-dasar negara yang selaras dengan tujuan syarak perlu dibina dalam memelihara agama (Maqasid al-Tadayyun) dan membangunkan peradaban negara (Maqasid al-‘Umran).

“Apabila masyarakat teguh berpandukan nilai agama yang sahih, negara akan menikmati keamanan, kemakmuran dan sentiasa berada dalam keberkatan Allah SWT.

“Justeru, pertahankanlah keamanan yang telah terbina ini dan janganlah ia diruntuhkan dengan budaya dan perilaku songsang yang tidak bermoral dan bercanggah dengan kelestarian manusia,” katanya.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan penahanan seramai 202 lelaki dalam serbuan di sebuah pusat kesihatan di Chow Kit yang disyaki turut menjadi sarang kepada aktiviti hubungan songsang.

Daripada yang ditahan itu, seramai 103 daripada mereka merupakan orang Melayu dan Islam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast