GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penubuhan badan penyiasatan bebas bagi menyiasat skandal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melibatkan pemain naturalisasi atau ‘warisan’ serta dakwaan pemalsuan dokumen rasmi.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, isu yang melibatkan tujuh pemain kelahiran asing itu telah mencemarkan nama baik badan sukan dan negara.
“Siasatan perlu diteruskan tanpa rasa takut atau pilih kasih selain ia mesti diketuai oleh seorang hakim bersara dengan sokongan wakil masyarakat sivil.
“Ini kerana pengeluaran dokumen pengenalan diri secara haram adalah kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).
“FAM juga perlu menghadapi tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah Mohideen, skandal ini sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan sosial mereka yang terlibat.
“Malah, berdasarkan rekod antara 2021 dan 2025 menunjukkan 1,377 individu ditahan dan 1,368 didakwa berkaitan kesalahan pengenalan diri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazwbal dan Hector Hevel.
Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta. – MalaysiaGazette
















