Muhammad Nazmi Izzuddin didakwa atas pertuduhan cuba membunuh isterinya di Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh isterinya selepas laporan psikiatri mengesahkan dia berada dalam keadaan layak dibicarakan.

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin memaklumkan mahkamah menerima laporan lengkap daripada hospital yang merawat tertuduh dan laporan itu menyatakan dia sesuai untuk menghadapi prosiding.

Susulan itu, pertuduhan terhadap Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, dibacakan jurubahasa dan tertuduh mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira jam 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM15,000 beserta beberapa syarat tambahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin selain mengambil kira keselamatan mangsa yang juga isteri tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan yang mewakili tertuduh mohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan atas alasan anak guam mereka masih berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah Cina di negeri ini dan telah ditahan hampir tiga bulan menyebabkan dia berisiko kehilangan pekerjaan sebagai penjawat awam.

“Selain itu, anak guam kami telah menerima rawatan psikiatri bagi ‘major depressive disorder’ dan dibekalkan ubat termasuk anti kemurungan mirtazapine oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta.

“Jika tertuduh dijamin, dia bersedia mematuhi syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis terdekat serta tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis sehingga kes selesai, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 6 Januari depan.

Sementara itu di luar mahkamah, Yazid  memaklumkan bahawa tertuduh telah menjalani pemeriksaan psikiatri hampir tiga bulan sebelum dibawa semula ke penjara reman Pulau Pinang Jumaat lalu dan dihadapkan ke mahkamah hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Guru cuba bunuh isteri dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta

Kes guru cuba bunuh isteri ditangguhkan lagi, tertuduh masih di Hospital Bahagia

Media sebelum ini melaporkan hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang dipercayai punca pergaduhan sehingga guru tersebut bertindak mengelar isterinya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal pihak polis mendapati suspek berusia 30 tahun yang juga seorang guru itu membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham selain pembayaran ansuran barangan yang dibeli melalui platform e-dagang.

“Setakat ini hasil siasatan mendapati punca pergaduhan pasangan itu disebab hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Dakwaan suspek mempunyai hutang dengan ahlong itu tidak benar sebaliknya, dia membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah,” kata Sazalee,” katanya.

Dalam kejadian pada 27 Ogos lalu, seorang guru wanita nyaris maut akibat dikelar suaminya yang juga seorang guru dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda di sini.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast