Kesemua tertuduh terdiri daripada 14 warga Jepun manakala empat lagi warga China.

BUKIT MERTAJAM – Seramai 18 warga Jepun dan China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan dalam talian pada November lalu.

Mereka yang terlibat ialah Chen Zigui,30; Liang Chengfu,37; Hama Takuya,35; Tustsui Shoichi,42; Kono Kiyoshi,51; Yamao Yuta,27; Kishi Kosuke,26; Ryo Nomita,34; Chen Yien,34;  Ohak Koki,35; Motokawa Yuya,30; Takumi Nakano,26; Matsumoto Satoshi,44; Inanobe Yuya,24; Lin Ping,42; Hashimoto Takuya,34; Minamihata Naoto,37 dan Yuina Miki,25.

Pengakuian itu dibuat selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Mengikut pertuduhan kesemua mereka didakwa melakukan pakatan jahat jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu menjalankan aktiviti penipuan dalam talian yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu didakwa di lakukan di Taman Bukit Juru, Seberang Perai Tengah antara jam 12 hingga jam 12.10 tengah hari pada 20 November lalu.

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan  yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun,dengan sebat dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zulfadzli Hassan dan kesemua tertuduh diwakili peguam Mahesh Ananthan.

Semasa prosiding, Zulfadzli menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap seorang dengan dua penjamin warga tempatan, selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Bagaimanapun, dalam mitigasi rayuan, Mahesh memohon agar jaminan rendah dikenakan terhadap semua anak guamnya dengan alasan mereka perlu menyara keluarga di negara masing- masing, selain mempunyai pendapatan rendah serta telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula untuk serahan dokumen pada 3 Februari depan.

Kesemua mereka bekerja sebagai tukang cuci, pemandu, pekerja kedai makan dan juga tukang cat membayar wang jaminan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket ‘phone scam’ yang menyasarkan mangsa di Jepun selepas menahan 18 individu dalam serbuan di dua buah banglo di kawasan Simpang Ampat, pada 20 November lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan melibatkan 13 lelaki dan seorang wanita warga Jepun serta empat lelaki warga China berusia antara 25 hingga 51 tahun.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat mangsa sebelum menyamar sebagai polis Jepun.

“Mereka kemudian menggunakan aplikasi Go (Japan) bagi menguruskan transaksi kewangan bagi memperdaya mangsa di negara Jepun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast