KUALA LUMPUR – Warganegara Malaysia boleh mengunjungi Muzium Negara secara percuma pada 6 dan 7 Disember ini dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Kemennterian Perpaduan Negara berkata, inisiatif itu adalah sempena tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI dan sambutan Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku.

“Ia bertujuan menggalakkan masyarakat, khususnya golongan muda dan keluarga, untuk mendekati sejarah tanah air serta menghargai warisan yang membentuk identiti negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau percaya bahawa pemahaman sejarah adalah asas penting dalam memupuk perpaduan, memperkukuh nilai kebangsaan dan mempertingkat rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.

Justeru katanya, usaha membuka akses percuma ini diharapkan dapat memberi peluang yang lebih luas kepada masyarakat untuk kembali menyelami akar sejarah negara.

Muzium Negara menempatkan empat galeri utama yang memaparkan keseluruhan perjalanan sejarah Malaysia merangkumi era prasejarah, kesultanan Melayu, penjajahan, dan pembangunan negara moden.

Pelawat boleh merujuk laman rasmi Muzium Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai galeri dan pameran. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast