Loket 'telur' yang ditelan seorang lelaki New Zealand selepas mencurinya di Patridge Jewellers.

AUCKLAND –  Loket bertatahkan berlian yang telah ditelan oleh seorang lelaki New Zealand ketika dia cuba mencurinya telah berjaya “diperoleh semula”, kata polis.

Loket ‘telur’ Fabergé’ itu bernilai NZ$33,585 (AS$19,300), telah diperoleh semula melalui cara “semula jadi” tanpa memerlukan kaedah perubatan.

Loket berkenaan diperoleh semula kira-kira seminggu selepas polis menangkap lelaki berusia 32 tahun itu di Patridge Jewellers di pusat bandar Auckland, beberapa minit selepas dia didakwa menelan loket berkenaan.

Barang kemas yang ditelan itu dihiasi dengan 60 berlian putih dan 15 batu nilam biru.

Loket berkenaan boleh dibuka dan mempunyai seekor sotong miniatur emas 18 karat di dalamnya, menurut laman web kedai barang kemas tersebut.

Lelaki itu telah didakwa atas kesalahan mencuri.

Awal minggu ini, polis New Zealand berkata, lelaki itu telah menjalani pemeriksaan perubatan dan sedang dipantau secara berterusan.

“Memandangkan lelaki ini berada dalam tahanan polis, kami mempunyai tanggungjawab untuk terus memantau keadaannya berdasarkan apa yang telah berlaku,” kata polis ketika itu.

‘Telur Octopussy’, nama yang diberikan kepada barang kemas itu, diilhamkan oleh filem James Bond 1983 dengan judul yang sama – berkisarkan rompakan telur Fabergé yang rumit.

Fabergé ialah jenama barang kemas terkenal dunia yang diasaskan di Rusia lebih dua abad lalu, terkenal dengan rekaan ‘telur’ yang diperbuat daripada batu permata dan logam berharga.

Suspek juga didakwa mencuri sebuah iPad dari kedai barang kemas yang sama pada 12 November dan melarikan pasir kucing serta produk kawalan kutu bernilai NZ$100 dari sebuah alamat persendirian sehari selepas itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast