Naazron Abdul Yusof.

KUALA LUMPUR – Usaha bagi mencari seorang lagi kanak-kanak yang lemas selepas dihanjutkan arus deras dalam kejadian di Prima Saujana, Kajang petang semalam diteruskan pagi ini.

Perkara itu dimaklumkan secara ringkas oleh Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof sebentar tadi.

Terdahulu media melaporkan, dua kanak-kanak yang merupakan adik beradik berusia 12 dan 14 tahun dilaporkan hilang dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola yang terjatuh dalam sebuah longkang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pukul 6.32 petang semalam.

Bagaimanapun, salah seorang daripada dua beradik itu yang lemas berjaya ditemui namun, disahkan meninggal dunia di HJospital Kajang, malam tadi.

Dalam perkembangan sama Naazron memberitahu, mangsa yang ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) merupakan adik dan mayatnya ditemui pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi mereka dilaporkan terjatuh.

“Kanak-kanak lelaki itu ditemukan tidak sedarkan diri di Sungai Kantan dan diberikan bantuan kecemasan pada 7.47 malam sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

“Tapi sedihnya, dukacita saya maklumkan pada 10 malam tadi, beliau telah disahkan meninggal dunia,” katanya.

Operasi SAR melibatkan kekuatan sebanyak 35 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Naazron berkata, tiga pasukan telah dibentuk bagi melaksanakan pencarian di kawasan berkenaan sehingga ke pertemuan muara di Sungai Langat. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

2 kanak-kanak dipercayai lemas dihanyutkan arus deras di Prima Saujana

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast