JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 43 warga asing atas pelbagai kesalahan selepas melakukan serbuan di kawasan Taman Pelangi dan Taman Molek di sini semalam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Selera itu bermula pada pukul 12 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor.
Jelas beliau, operasi tersebut menggempur premis perniagaan yang menggaji serta melindungi warga asing tanpa dokumen sah.
“Operasi penguatkuasaan ini memberi tumpuan kepada pemeriksaan pekerja asing, rekod majikan, dokumen perjalanan dan status permit kerja.
“Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang Imigresen dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi termasuk tangkapan serta pertuduhan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan ke atas 84 individu, seramai 43 warga asing terdiri daripada 13 lelaki dewasa warganegara Myanmar, lima lelaki dewasa Indonesia dan dua lelaki dewasa Pakistan ditahan.
Beliau memberitahu, ia termasuk tiga lelaki dewasa warganegara India, lima lelaki dewasa Nepal, tiga wanita dewasa Myanmar dan 12 wanita dewasa Indonesia.
“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 19 tahun sehingga 49 tahun, kata beliau.
Turut ditahan empat warga tempatan untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran yang sah.
“Sebanyak lima keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan,” katanya lagi.
Semua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“JIM Johor menegaskan komitmen untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi membersihkan kawasan perniagaan daripada kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) demi memelihara keselamatan masyarakat dan mempertahankan undang-undang,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















