Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika merasmikan Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2025 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 05 DISEMBER 2025

PUTRAJAYA – Perdana Menteri mengingatkan semua pimpinan kerajaan termasuk badan penguatkuasaan supaya tidak melindungi mana-mana anggota atau pegawai mereka yang terbabit dalam salah laku dan rasuah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika terbabit dalam jenayah rasuah walaupun dari pejabatnya sendiri.

Katanya, negara hanya akan selamat jika semua pimpinan dan badan penguat kuasa memiliki kesediaan untuk bertindak ke atas anggota dan pegawai mereka sendiri.

“Kalau kebetulan ada anggota kita tersalah langkah, kalau ringan tindakan disiplin (boleh) diambil, kalau terlanjur besar, mesti ada kesediaan dari badan penguat kuasa untuk bertindak terhadap anggota kita sendiri, baru boleh selamat negara ini.

“Jadi, bayangkan pejabat saya kalau ada, saya (akan) beritahu kepada Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya tidak melindungi sesiapa, terus ambil tindakan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Mengulas lanjut Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak boleh leka terhadap ancaman manipulasi persepsi awam serta campur tangan pihak berkepentingan dalam sistem pentadbiran dan penguatkuasaan negara.

Menurutnya, masih wujud individu atau pihak tertentu yang didakwa memiliki kekuatan sumber kewangan serta pengaruh politik yang boleh digunakan untuk mengganggu-gugat institusi negara termasuk melalui usaha menyeludup masuk pengaruh ke dalam perkhidmatan awam, kehakiman dan badan penguatkuasaan.

“Saya tidak menafikan perkara itu. Kita tidak boleh naif. Jika ada kelemahan, kita wajib memperbaikinya,” katanya.

Beliau menjelaskan, perbincangan tegas turut diadakan bersama ketua pesuruhjaya sebuah agensi penguatkuasaan bagi memastikan sebarang dakwaan dapat dijawab dengan jelas dan tindakan sewajarnya diambil.

“Orang ini mahu membina persepsi negatif. Jika dibiarkan, ia boleh melindungi penjenayah dan akhirnya mencengkam negara. Sebab itu kita perlu jawab dengan tegas dan cepat, jangan tangguh,” ujarnya.

Tambahnya, integriti agensi penguatkuasaan harus dipertahankan kerana ia menjadi asas kepada prinsip negara hukum.

Beliau menegaskan, sekiranya timbul pertikaian terhadap cara tangkapan atau operasi, agensi terbabit mesti segera memberi penjelasan.

“Jika terdapat anggota yang tersalah langkah, tindakan disiplin harus diambil mengikut tahap kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast