Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.

SHAH ALAM – “Saya bersumpah itu adalah hari pertama saya bertemu beliau yang kini berusia 100 tahun dan hanya mengadu kepadanya,” kata ahli pernigaan, Albert Tei susulan gambarnya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad tular di media sosial.

Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheng, 37, berkata, pertemuan bersama bekas perdana menteri itu bertujuan mendapatkan nasihat berhubung siasatan rasuah dihadapinya.

“Sebenarnya gambar tular hingga mencetuskan fenomena itu adalah hari pertama dalam hidup saya sepanjang 37 tahun ini berjumpa beliau.

“Saya sendiri terkejut apabila melihat pelbagai spekulasi tidak berasas timbul seolah-olah saya ada hubungan politik dengan Tun M  sampai cakap saya ini ada konspirasi dan macam-macam lagi.

“Selama pertemuan satu jam dengan Tun M, saya hanya mengadu dan mendengar nasihat beliau serta diberikan panduan berdasarkan pengalamannya sebagai negarawan.

“Jadi mohon sangat hentikan fitnah terhadap Tun M dan diri saya,” katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini hari ini.

Tangkap layar tular Albert Tei bersama Tun Dr Mahathir Mohamed.

Tambah Albert Tei, pertemuan bersama Dr Mahathir dibuat pada minggu lalu di Yayasan Perdana susulan kes dihadapinya termasuk ancaman keselamatan yang diterima selepas mendedahkan dakwaan salah laku membabitkan individu tertentu.

“Beliau tidak tanya satu soalan pun mengenai politik, sebaliknya hanya menasihatkan saya supaya ambil tindakan sewajarnya. Itu saja.

“Saya tegaskan tiada apa-apa kaitan politik, tiada cadangan supaya saya jumpa sesiapa, tiada apa-apa agenda,” katanya.

Menjawab persoalan mengapa beliau memilih bertemu Dr Mahathir, Tei berkata, ia dibuat atas nasihat seorang rakan yang percaya tokoh berpengalaman seperti bekas perdana menteri itu dapat memberikan pandangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast