Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman melengkapkan laporan sasatan kematian pemandu lori, Manisegaran a/l Mohan.

Menurut AGC, ia bagi membolehkan kes tersebut dirujuk kepada Mahkamah Koroner bagi menentukan punca dan sebab kematian.

“Laporan penuh siasatan tersebut dijangka akan dirujuk kepada jabatan ini dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 4 Disember lalu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menggesa AGC menjelaskan dakwaan tentang seorang pemandu lori yang mati dalam tahanan polis tetapi tidak disiasat selepas lebih sembilan bulan.

Gobind berkata, sehingga kini tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa walaupun kejadian menimpa Manisegaran Mohan, 41, sudah berlaku berbulan-bulan.

“Saya rasa elok untuk Peguam Negara memberitahu kenapa tidak ada tindakan yang diambil, khususnya kerana beliau merupakan penjaga kepentingan awam (custodian of public interest),” kata Gobind kepada pemberita.

Menurut AGC, jabatan itu kekal komited memastikan setiap kes kematian dalam tahanan ditangani secara telus, menyeluruh dan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast