JOHOR BAHRU – Seorang akauntan yang sedang berjalan kaki menuju ke sebuah kedai makan cuba diragut dua lelaki menaiki yang motosikal dalam kejadian di Taman Setia Indah di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa yamg berusia 51 tahun sedang berjalan kaki seorang diri.
“Mangsa didatangi dua suspek lelaki menaiki sebuah motosikal. Suspek bertindak menarik beg silang mangsa namun tidak berjaya.
“Ketika berlaku pergelutan, telefon bimbit mangsa terjatuh dan telah diambil oleh salah seorang suspek sebelum mereka melarikan diri.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian lutut. Kerugian yang dialami adalah sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro Max dianggarkan bernilai RM1,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup muka (visor gelap) dan menaiki sebuah motosikal yang nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.
Kawasan kejadian katanya, tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) namun satu rakaman dashcam milik orang awam yang merakam kejadian telah diperoleh bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun (ragut), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, katanya.
Polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“IPD Johor Bahru Selatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terutamanya ketika berjalan sendirian pada waktu pagi atau di kawasan sunyi, serta memastikan barangan berharga disimpan dengan selamat bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran jenayah jalanan.
“Polis komited memastikan keselamatan masyarakat dan usaha mengesan suspek masih diteruskan,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















