Ratusan buaya kelihatan di sebuah ladang yang tidak aktif di Lembah Jordan berhampiran penempatan haram Israel, Petzael di Tebing Barat. Gambar Fail AFP 18 Januari 2021.

ISRAEL- Pihak berkuasa Israel membunuh ratusan buaya di ladang Lembah Jordan kerana bimbang reptilia itu dijadikan senjata sekiranya pihak musuh melakukan serangan sabotaj di Tebing Barat, demikian menurut laporan media asing Khamis lalu.

Media Israel, Ynet News melaporkan, Pihak Pentadbiran Awam dan Pihak Berkuasa Alam Semula Jadi dan Taman berkata, buaya-buaya berkenaan dibimbangi mampu menembusi parameter ladang Petza’el dan seterusnya dibebaskan ke kawasan penempatan berhampiran.

Ynet News turut memetik pegawai-pegawai kanan kerajaan yang mengatakan, ketegangan keselamatan yang semakin meningkat menyebabkan pihak berkuasa risau sekiranya reptilia berkenaan dibebaskan oleh musuh sebagai salah satu cara untuk melancarkan serangan.

Bagaimanapun, agensi-agensi berkaitan berkata, mereka tidak akan membuka siasatan mengenai pembunuhan reptilia berkenaan.

Ini kerana tindakan itu dilaksanakan mengikut undang-undang dan mempunyai permit pemburuan yang sah, kata laporan itu lagi.

Tambahnya, situasi di ladang buaya itu yang semakin memburuk boleh mengundang risiko keselamatan kepada orang awam.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, sudah banyak insiden buaya hampir terlepas daripada kandang tersebut di samping berlaku peningkatan insiden orang awam memasuki kawasan berkenaan secara haram.

Kumpulan pejuang hak haiwan termasuk Let the Animals Live and Animals Now memberitahu media Israel itu, mereka mengecam operasi tersebut dan meminta ketelusan daripada pihak berkuasa.

Mereka juga menggesa agar pihak berkuasa memberi maklumat yang difailkan oleh kumpulan itu sejak empat bulan lalu mengenai perkara tersebut.

Mereka mempersoalkan sama ada tindakan membunuh kesemua buaya berkenaan adalah satu langkah perlu, sedangkan kebanyakan daripada reptilia di ladang berkenaan dilaporkan sihat.

Tegasnya, tindakan pihak berkuasa adalah sangat ekstrem. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast