KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan kerajaan menaikkan ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai tahun 2026 bakal memberikan ruang bernafas kepada ribuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya usahawan bumiputera yang masih dalam proses menstabilkan aliran tunai, menambah baik sistem perakaunan, serta meningkatkan kesiapsiagaan digital mereka.
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Mohd Azamanizam Baharon berkata, keputusan ini juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan pematuhan cukai dilaksanakan secara berperingkat tanpa membebankan perniagaan kecil.
Beliau menyifatkan ia adalah langkah proaktif dalam meringankan beban PMKS, khususnya usahawan Bumiputera yang sedang berdepan cabaran ekonomi semasa dan dilihat sebagai satu keputusan berasaskan realiti di lapangan.
“Perdasama menghargai komitmen kerajaan menangani isu kelewatan pembayaran balik cukai yang telah lama memberi tekanan kepada PMKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pengumuman perdana menteri untuk meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada Disember ini adalah bukti kesungguhan kerajaan memastikan perniagaan kecil tidak terus terjejas akibat kelewatan yang menjejaskan modal pusingan mereka.
Mohd Azamanizam berkata, langkah pembetulan segera ini amat penting bagi memperkukuh keyakinan PMKS terhadap ekosistem kewangan negara.
“Sebagai sebuah badan mewakili 27,000 ahli PMKS bumiputera di seluruh negara, Perdasama melihat pengumuman ini sebagai satu isyarat jelas bahawa kerajaan komited memastikan kelangsungan perniagaan tempatan dan meningkatkan daya saing industri kecil dan sederhana.
“Perdasama percaya langkah-langkah ini akan membantu memulihkan keyakinan usahawan, menggalakkan pertumbuhan perniagaan secara mampan, dan membuka ruang kepada lebih banyak peluang ekonomi dalam tempoh pemulihan dan ketidaktentuan global masa kini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















