TANGKAP layar video serbuan pihak berkuas ke atas pusat kesihatan yang dipercayai turut dijadikan lokasi aktiviti lelaki songsang di ibu negara, baru-baru ini.

Oleh: Dr. Afizah Salleh

NEGARA kita digemparkan lagi dengan berita penangkapan 201 individu di sebuah pusat spa di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ketika sebahagian besar rakyat Malaysia sedang memberi tumpuan kepada perjalanan dan keputusan PRU Sabah, ada pula yang mencipta dunia mereka sendiri.

Lebih menyedihkan apabila sebahagian besar yang terlibat dalam  adalah dalam golongan profesional dan penjawat awam. Apa nak jadi dengan negara ini?

Profesional adalah golongan yang kebiasaannya berpendidikan tinggi, bertanggungjawab dan mempunyai kelayakan khusus yang menyebabkan mereka dihormati serta mempunyai standard etika tertentu mengikut profesion masing-masing. Golongan profesional seharusnya menjadi teladan kepada generasi muda dalam perkembangan kerjaya dan pembentukan jatidiri.

Namun jika mereka sendiri terlibat dengan anasir yang tidak sihat ini, menjadi kebimbangan jika keadaan ini mempengaruhi minda anak-anak kita.

Tidakkah pendidikan yang tinggi ini sekurang-kurangnya mampu menahan diri golongan profesional daripada melakukan perbuatan di luar tabii dan tidak diterima masyarakat umum? Seharusnya mereka tahu natijah perbuatan tersebut untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Di antara mereka yang ditangkap ini juga bekerja sebagai doktor. Doktor yang mengetahui kesan perbuatan tersebut secara mendalam termasuk penularan jangkitan HIV dan penyakit kelamin yang lain seperti sifilis dan gonorrhea.

Doktor yang tahu betapa nipisnya lapisan rectum dan anus itu jika dibandingkan dengan vagina sehingga peratus jangkitan HIV lebih tinggi. Doktor yang belajar tentang anus ada otot sfinkter yang mudah koyak apabila dimasukkan benda keras sehingga boleh menyebabkan penyakit anal fissure dan jangkitan kuman seperti anorectal abscess dan anal fistula.

Inilah yang berlaku apabila ilmu itu hanya sekadar pengetahuan tanpa sentuhan akal. Ilmu itu sebagai rangkaian pengetahuan yang membolehkan seseorang mengenali antara benar dan salah dan seterusnya mendorongnya memilih antara yang benar dan salah sudah tidak mampu memandu seseorang.

Menurut Imam Al-Ghazali ‘Ilmu adalah mengetahui sesuatu akan apa adanya”. Manakala Imam Al-Raghib Al-Asfahmi mengatakan, ilmu adalah mencapai sesuatu hal akan hakikatnya. Dengan ilmu seseorang akan memahami sesuatu yang tidak tersasar dari hakikatnya.

Seseorang yang menggunakan akal akan mampu mengendalikan dirinya kerana akal adalah untuk perkara yang positif. Lawan kepada akal adalah nafsu. Akal yang dimaksudkan di dalam al-Quran bukannya otak ( kata nama ) tetapi suatu kata kerja yang perlu dikerjakan.

Profesionalisme tanpa sentuhan akal dan agama akibat sekularisasi ilmu (memisahkan agama dan pendidikan ) mengakibatkan kerosakan. Perkembangan ilmu dalam sebuah masyarakat akan menghasilkan tamadun. Secara amnya masyarakat yang bertamadun seharusnya mempunyai etika dan peradaban selain daripada ilmu dan kemajuan teknologi.

Namun masyarakat yang bertamadun tidak menjamin sepenuhnya kebebasan daripada aktiviti tidak bermoral. Sejarah  membuktikan semasa zaman Nabi Luth, Kaum Sodom yang terlibat dengan aktiviti songsang adalah kaum yang bertamadun.

Di dalam Al-quran mereka digambarkan sebagai masyarakat yang ada hidup yang teratur dalam penempatan urban dan organisasi sosial bukannya masyarakat kampung atau nomad. Dalam surah Al-Ankabut :34 “ إِنَّا مُنزِلُونَ عَلَىٰٓ أَهْلِ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ رِجْزًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ “ Sesungguhnya kami diutuskan untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka telah melakukan kejahatan ( kufur dan maksiat ). Mereka telah dibinasakan oleh Allah kerana perbuatan mereka yang mengamalkan perbuatan homoseksual untuk memuaskan nafsu dan mengabaikan nasihat daripada Nabi Luth.

Firman Allah dalam Surah Al-A’raf : 80-81
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍۢ مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ
إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةًۭ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌۭ مُّسْرِفُون
Dan Nabi Luth juga ( kami utuskan ). Ingatlah Ketika ia berkata kepada kaumnya” Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan , bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas”.

Isu ini telah menular lama di luar negara dan kini semakin banyak kes yang berlaku di negara kita. Sejak tahun 2000 lagi peratus jangkitan HIV bukan lagi dalam kalangan pengguna dadah secara suntikan atau pelacuran tetapi hampir 90% adalah dikalangan lelaki yang berhubungan dengan lelaki ( MSM ).

Mereka agak sukar dikesan kerana keadaan fizikal mereka yang tidak berubah malah dari segi sosial mereka masih menjalankan kehidupan seperti biasa ( berkahwin dan mempunyai zuriat serta mempunyai profesion yang baik dan terjamin ). Kalau dahulu kes-kes masih agak terpencil mungkin bimbang dengan stigma masyarakat dan tindakan undang-undang, namun kini golongan ini semakin berani menunjukkan diri mereka di khalayak ramai.

Adakah kerana undang-undang yang semakin longgar atau kerana pengaruh Barat yang membenarkan perkara ini atas alasan hak asasi manusia? Atau adakah kerana jangkitan HIV kini tidak lagi menjadi tiket kematian kerana wujudnya ubat retroviral yang berkesan untuk menjadikan mereka sihat kerana tahap CD4 yang terkawal dan tidak akan menjangkiti pasangan mereka. Mereka dapat hidup normal seperti orang lain, berkahwin dan berkeluarga. Boleh jadi ini adalah satu bentuk istidraj kepada mereka.

Surah Al-An’am : 44 فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَٰبَ كُلِّ شَىْءٍ حَتَّىٰٓ إِذَا فَرِحُوا۟ بِمَآ أُوتُوٓا۟
أَخَذْنَـٰهُم بَغْتَةًۭ فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
“ Maka ketika mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, kami buka kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, hingga apabila mereka bergembira denga napa yang diberikan, kami azab mereka secara tiba-tiba , maka mereka menjadi berputus asa”.

Azab Allah akan menimpa seluruh masyarakat yang membiarkan perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan tanpa dinasihati atau dicegah. Tidak cukup jika ahli masyarakat hanya menjalankan amal ma’ruf tetapi tidak mencegah kemungkaran kerana balasan akhirat bukan hanya syurga yang indah tetapi juga azab neraka yang amat dahsyat.

Firman Allah dalam surah Al-Anfal : 25
وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
“Peliharalah diri kamu daripada bala bencana yang bukan sahaja menimpa orang yang zalim diantara kamu, bahkan ia menimpa semua sekali.Dan ketahuilah bahawa Allah berat azab seksaNya”.

Jangan dibiarkan perbuatan keji dan maksiat menjadi norma masyarakat. Selain meningkatkan usaha dakwah untuk menangani golongan yang bersifat luar tabii ini, penguatkuasaan undang -undang juga amat penting agar timbul ketakutan untuk melakukan maksiat ini.

Golongan profesional sebagai aset yang berharga dalam sebuah negara.  Seharusnya mereka dapat berfikir secara waras  menggunakan akal dan ilmu pengetahuan untuk memakmurkan dunia bukan melakukan perbuatan yang salah dan memberi natijah buruk kepada diri sendiri dan masyarakat. Kembali kepada fitrah dan kembali kepada Allah.

Penulis adalah seornag Pakar Bedah Am dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Wanita Afiyah Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast