Azhari Shaari

KOTA TINGGI – Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia diharap menjadi pemangkin perkembangan industri halal Malaysia bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi juga di peringkat global.

Acara tahunan ini dijangka memberi motivasi kepada pemain industri halal untuk meningkatkan usaha mendapatkan pengiktirafan global sekali gus menambah nilai kepada syarikat dan produk masing-masing.

Pemangku Pengerusi Halal Development Corporation (HDC), Datuk Azhari Shaari berkata, pengiktirafan melalui anugerah itu memberi kelebihan kompetitif kepada syarikat, memudahkan produk dikenali di pasaran tempatan mahu pun global.

“HDC berperanan untuk memastikan kualiti halal ini di jamin di jaga dan tidak ada HDC sentiasa menjalankan audit dan penilaian bagi memastikan setiap produk mematuhi standard halal yang ketat.

“Halal yang diiktiraf HDC diterima di seluruh dunia dan kami bertanggungjawab mengekalkan tahap kualiti ini tanpa kompromi sama ada daripada segi bahan, ramuan atau proses penghasilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2024 di Desaru Coast, Pengerang di sini malam tadi.

Azhari berkata, penilaian teliti HDC memberi fokus kepada kejayaan peserta, menggalakkan pemain industri menambah baik kualiti produk mereka selain memastikan industri halal Malaysia terus menjadi peneraju global.

Selain pengiktirafan, katanya, anugerah berkenaan menjadi platform pertukaran ilmu dan pengalaman antara pemain industri halal tempatan dan antarabangsa.

“Program ini turut menekankan pengurusan halal menyeluruh daripada pemilihan bahan mentah hingga proses pengeluaran, bagi memastikan produk memenuhi standard diiktiraf.

“Dengan kejayaan penganjuran ini, industri halal dijangka terus berkembang, mewujudkan nilai tambah kepada ekonomi tempatan serta meningkatkan daya saing produk halal Malaysia di arena global,” ujarnya.

Program berkenaan disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast