Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, mesin kios atau di laman sesawang rasmi KTMB bermula 9 Disember 2025 (Selasa) jam 12.30 tengah malam dan tiket dijual bagi tempoh enam bulan perjalanan sehingga Mei 2026.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren elektrik (ETS) akan mula beroperasi ke JB Sentral bermula 12 Disember 2025, dengan pelaksanaan empat perkhidmatan sedia ada laluan KL Sentral – Kluang – KL Sentral dilanjutkan ke JB Sentral.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, pengoperasian ini menandakan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) yang melibatkan pembinaan jajaran 192 kilometer dan 11 stesen telah disiapkan mengikut sasaran yang ditetapkan.

Namun, perkhidmatan ETS akan diaktifkan secara berfasa melibatkan laluan perjalanan ke sektor utara, selaras dengan proses pentauliahan set ETS.

Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, mesin kios atau di laman sesawang rasmi KTMB bermula 9 Disember 2025 (Selasa) jam 12.30 tengah malam dan tiket dijual bagi tempoh enam bulan perjalanan sehingga Mei 2026.

Kadar tambang bagi laluan KL Sentral – JB Sentral bermula dari RM82 sehala.

Ketua Pegawai Teknikal KTMB (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan) Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, dengan pembukaan
perkhidmatan tren ETS ke JB Sentral, rakyat Johor kini boleh menikmati kemudahan
perjalanan terus ke KL Sentral, sebelum bersambung ke destinasi-destinasi lain di
Utara dan Pantai Timur.

Pada masa yang sama, akses kepada pengangkutan awam yang selamat, selesa dan bersepadu ini turut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

Ia bukan sahaja memudahkan mobiliti harian, malah menyokong pertumbuhan industri
pelancongan serta ekonomi Johor dengan menarik lebih ramai pelancong, termasuk
dari Singapura, untuk berkunjung ke Malaysia melalui perkhidmatan kereta api.

Menurutnya, pelaksanaan ini tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun dan rakyat Malaysia mengambil peluang
bercuti ke Johor, manakala rakyat Johor pula menikmati perjalanan mudah ke destinasi luar Johor melalui sambungan tren ETS.

Kemudahan ini sekali gus meningkatkan pergerakan domestik dan merancakkan aktiviti pelancongan serta perniagaan di kedua-dua arah.

KTMB mengharapkan rakyat Johor tidak ketinggalan untuk merasai pengalaman
menaiki tren ETS ini dan rancang perjalanan serta membuat pembelian tiket lebih
awal.

Sehubungan itu, KTMB berbesar hati menawarkan diskaun istimewa 30%
untuk perkhidmatan ETS sektor Selatan bagi perjalanan dari 12 Disember 2025
hingga 11 Januari 2026.

Penumpang boleh menikmati tawaran ini dengan menggunakan kod promosi:
JBBEST semasa pembelian tiket.

Sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

KTMB juga menggalakkan orang ramai merancang perjalanan awal dan membeli tiket
lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta
mengelakkan pembelian saat akhir.

Pengguna juga diingatkan tiba sekurang-kurangnya 30 minit sebelum berlepas kerana pintu masuk ditutup lima minit sebelum tren bergerak.

Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB
di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB bagi kemudahan dan keselesaan
pelanggan.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast