Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin hadir Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan disyaki bersubahat menerima rasuah di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 08 DISEMBER 2025.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Padang Serai hari ini didakwa atas satu pertuduhan bersubahat menerima rasuah berkaitan projek usaha sama penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah, lima tahun lalu.

Manakala seorang ahli perniagaan pula didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM400,000 sebagai balasan untuk mendapatkan projek yang sama.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin bersubahat dengan ahli perniagaan, Ammar Assuat Abu Bakar di Jalan Medan Pusat 2D, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, kira-kira  5 petang, pada 23 Jun 2020.

Ammar Assuat meminta dan menerima suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Mohd Hassanaim Fauzi sebagai upah bagi membantunya mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Sg. Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Mengikut pertuduhan sama, Azman yang juga Exco Pertanian dan Industri Makanan Kedah melakukan kesalahan dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB untuk mengeluarkan surat tawaran projek tersebut kepada Mohd Hassanaim.

Azman melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon agar tertuduh dikenakan jaminan RM100,000 dengan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguamnya, N.Surendran meminta mahkamah mengenakan jaminan rendah, sekurang-kurangnya 10 hingga 12 peratus dari jumlah pertuduhan kes itu.

Surendran berkata, anak guamnya yang sudah  berkahwin lebih 30 tahun dan dikurniakan lima cahaya mata serta kini menetap di Sungai Petani, Kedah tidak memungkinkan untuk melarikan diri ke luar negara.

“Beliau seorang ahli Parlimen, kalau tak hadir lebih enam bulan, beliau akan hilang kerusi. Saya tak pernah dengar ahli Parlimen (mahu) hilang kerusi,” katanya.

Bagaimanapun Hakim Mohd Nasir hanya membenarkan wakil rakyat Perikatan Nasional itu dikenakan jaminan RM75,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Azman juga diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan kes tersebut.

Sementara itu, ahli perniagaan itu pula mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan kerana meminta rasuah bagi dirinya wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Mohd Hassanaim bagi membantunya mendapatkan projek sama di sebuah restoran di Jalan Medan Pusat 2D, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada 20 Jun 2020.

Manakala pertuduhan kedua pula, Amar Assuat menerima suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Mohd Hassanaim bagi membantunya mendapatkan projek sama di tepi Jalan Medan Pusat 2D, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi kira-kira  5 petang pada 23 Jun 2020.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Amar Assuat melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon agar tertuduh dikenakan jaminan RM200,000 dengan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah.

Amar Assuat yang diwakili peguam, R Yoganathan bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah sehingga RM30,000.

Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin hadir Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan disyaki bersubahat menerima rasuah di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 08 DISEMBER 2025.

Yoganathan berkata, anak guamnya yang mempunyai seorang isteri dan tiga cahaya mata sudah bekerjasama dengan pihak SPRM sejak Mac 2025.

Beliau berkata, tiada sebab agak guamnya mahu melarikan diri, tambahan pula isterinya merupakan seorang suri rumah yang mengasuh ketiga-tiga anaknya.

Bagaimanapun Hakim Mohd Nasir mengarah tertuduh menbayar jaminan RM75,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut mengarahkan Amar Assuat menyerahkan pasport antarabangsa miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan kes itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast