Ops Gerak Kebangsaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan memastikan pematuhan standard pelepasan kenderaan di seluruh negara.

GEORGE TOWN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan 217 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan pelepasan kenderaan bermotor bernilai RM262,300 menerusi Ops GERAK Kebangsaan sepanjang lima hari di negeri ini.

Operasi itu dijalankan di lima lokasi utama iaitu Plaza Tol Sungai Dua (arah selatan), Plaza Tol Juru (arah utara), Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (Jalan Batu Maung) dan Plaza Tol Jambatan Kedua melibatkan 116 pegawai penguatkuasa daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), PLUS Malaysia Berhad dan dan JKSB.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Badlishah Ahmad berkata, Ops GERAK ini menumpukan pemeriksaan ke atas van, bas, lori, kereta serta motosikal bagi memastikan pelepasan gas dan bunyi bising tidak melebihi had ditetapkan.

Jelas beliau, sepanjang operasi 712 kenderaan diperiksa terdiri daripada 523 kenderaan enjin diesel, 67 kenderaan enjin petrol serta 125 motosikal.

Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil ialah sebanyak 217 kompaun dikeluarkan, kertas siasatan mahkamah (5), Notis Arahan Seksyen 48A bagi ujian semula (332) dan Perintah Larangan (49).

Sebanyak 217 kompaun dikeluarkan sepanjang lima hari operasi tersebut.

“Selain kompaun, pemilik kenderaan yang gagal mematuhi had pelepasan perlu menjalankan penyelenggaraan kenderaan dan diuji semula di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dalam tempoh ditetapkan.

“Tindakan ini memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan dan selamat digunakan di jalan raya,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam operasi sama, sebanyak 177 kesalahan trafik dikesan PDRM, AADK merekodkan tiga tangkapan positif dadah manakala JPJ pula, mengeluarkan 222 notis tindakan penguatkuasaan.

“Orang ramai diseru memastikan kenderaan sentiasa diselenggara dan dikendalikan dengan baik bagi menjamin keselamatan serta pematuhan peraturan semasa di jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast