KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan dibuat bagi mengatasi kekeliruan identiti sedia ada.
Dahulu ia sering dikaitkan masyarakat dengan kutipan zakat meskipun prestasi kutipan wakaf menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perubahan nama itu merupakan langkah strategik memastikan fungsi pengurusan wakaf lebih jelas, mudah dikenal selain mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, tanggungjawab besar dalam menguruskan wakaf menuntut pendekatan komunikasi yang lebih tersusun, identiti organisasi lebih kukuh serta strategi penyampaian maklumat lebih jelas kepada orang ramai.
“Nama Wakaf Wilayah Persekutuan bukan sahaja mudah diingati, malah ia melambangkan aspirasi pembangunan wakaf yang lebih luas, inklusif dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Wakaf Wilayah Persekutuan dan Penyerahan Sumbangan Wakaf Tunai di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Pengerusi PPZ MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menzahirkan kesyukuran kerana penjenamaan semula tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 5 September lalu.
Ia sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi kepada usaha PPZ-MAIWP dan MAIWP dalam memodenkan pengurusan wakaf tunai di negara ini.
Beliau menegaskan, penjenamaan bukan sekadar perubahan nama atau visual sebaliknya usaha menyeluruh untuk membudayakan amalan wakaf merentas masyarakat tanpa mengira latar belakang kerana manfaatnya bersifat universal.
“Saya berharap menerusi penjenamaan semula ini, Wakaf Wilayah Persekutuan akan menjadi titik tolak dalam memperkukuh tradisi wakaf sebagai institusi sosial yang mapan, sekali gus membina keyakinan masyarakat bahawa setiap sen yang diwakafkan akan diuruskan secara amanah, berintegriti dan terbaik,” katanya.
Terdahulu pada majlis yang sama turut menyaksikan sebanyak 12 syarikat tampil memberikan komitmen melalui dengan memberikan sumbangan wakaf tunai kepada Wakaf Wilayah Persekutuan berjumlah RM657,508.31.
Antara syarikat yang terlibat dalam penyerahan wakaf tunai tersebut ialah Asia Pacific Sports Sdn Bhd; Bank Simpanan Nasional; Etiqa Family Takaful Berhad; Malakoff Corporation Berhad; Merchant Nine Sdn Bhd; Naber Marketing Sdn Bhd; Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Rakyat Management Services Sdn Bhd.
Turut menyerahkan wakaf tunai iaitu adalah Ramly Food Marketing Sdn Bhd, Stelariz Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Yayasan Amal Asas.
Menurut PPZ-MAIWP, bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, kutipan wakaf tunai berjaya mencecah RM7.909 juta melibatkan seramai 11,121 pewakaf.
Dalam pada itu, sebanyak 35 projek wakaf masih memerlukan dana dengan anggaran keseluruhan RM413 juta bagi memastikan pembangunan dan manfaatnya dapat disalurkan kepada masyarakat.
Orang ramai yang ingin menyertai usaha itu boleh menyalurkan wakaf tunai secara fizikal di semua kaunter PPZ-MAIWP atau melalui pelbagai saluran digital seperti pembayaran atas talian, imbasan kod QR dan kaedah lain yang disediakan.
Setiap pewakaf turut layak menikmati Potongan Cukai Pendapatan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Sub Seksyen 44(11) D, Akta Cukai Pendapatan 1967.
Maklumat lanjut mengenai projek dan inisiatif wakaf berkenan boleh diikuti dengan melayari laman sesawang Wakaf Wilayah Persekutuan di www.wakafwilayah.com.my atau ikuti media sosial rasmi di Facebook dan Instagram di @wakafwilayah. – MalaysiaGazette
















