MELAKA – Insiden tular membabitkan seorang wanita yang didakwa tidak dibenarkan memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin semalam kerana pelanggaran etika pemakaian yang ditetapkan untuk urusan di premis kerajaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 5 petang.
Menurutnya, ketika itu dua wanita hadir untuk membuat laporan polis selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya namun kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun pegawai polis bertugas menasihatkan mereka pulang menukar pakaian yang bersesuaian mengikut etika pemakaian pelanggan sektor awam seperti ditetapkan dalam Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Negara bertarikh 1 Disember 2020.
“Kedua-dua wanita terbabit ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan wanita berkenaan kembali ke IPD bersama ibunya pukul 5.40 petang dengan berpakaian lebih sopan.
“Mereka kemudian dibenarkan masuk bagi membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, etika pemakaian perlu dipatuhi orang awam ketika berurusan di kaunter polis, namun kelonggaran akan diberikan dalam kes kecemasan atau yang memerlukan tindakan pantas.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden berkenaan dan memahami garis panduan yang telah ditetapkan,”tambahnya. – MalaysiaGazette
















