JOHOR BAHRU – Amalan melantik ketua kampung mewakili parti politik daripada kerajaan negeri yang memerintah termasuk di kawasan yang diwakili pembangkang perlu dihentikan kerana sudah tidak lagi praktikal.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, amalan itu bukan isu baharu dan sudah menjadi budaya pentadbiran di negeri ini.

“Pejuang Johor berpendirian sistem ini wajar dikaji semula dan berpendirian bahawa sistem ini wajar dikaji semula demi memastika keadilan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk pembangkang.

“Ini supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dan agenda manifesto secara berkesan.

“Demi mencapai keseimbangan antara kos, kecekapan dan keadilan, Pejuang Johor mencadangkan satu model alternatif yang lebih praktikal dan telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antaranya kata Suraya termasuk proses penamaan calon secara terbuka oleh penduduk kampung sendiri, penilaian calon oleh jawatankuasa bebas yang merangkumi wakil kerajaan, ADUN kerajaan dan ADUN pembangkang.

Jelasnya, ia turut melibatkan tokoh masyarakat serta sesi libat urus setempat bagi memastikan calon benar-benar difahami dan diterima penduduk.

Pihaknya menegaskan, pentadbiran kampung yang adil dan inklusif amat penting untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, terdapat cadangan dalam media sosial supaya mengadakan pilihan raya bagi memilih ketua kampung sebagai langkah memperkukuh demokrasi di peringkat akar umbi.

Menurut Suraya, isu berkenaan menjadi perdebatan hangat dan ramai berpendapat bahawa pemilihan melalui pilihan raya akan memberikan ketelusan serta legitimasi yang lebih kukuh kepada pemimpin kampung.

Namun katanya, isu tersebut perlu dinilai dengan lebih realistik kerana pelaksanaan pilihan raya kampung atau mukim memerlukan kos yang besar, melibatkan logistik dan pengurusan yang rumit, selain memerlukan tenaga kerja serta pengawasan yang menyeluruh.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, Pejuang Johor menegaskan bahawa keutamaan perbelanjaan negeri harus dipertimbangkan terlebih dahulu supaya tidak membebankan rakyat atau kerajaan.

“Pada masa yang sama, masih wujud persepsi bahawa ketua kampung dilantik mengikut pilihan ADUN kawasan yang menang, menyebabkan sesetengah pihak melihat proses ini sebagai dipengaruhi keputusan politik,” ujarnya.

Pejuang Johor katanya, ingin menjelaskan di Johor, proses sebenar adalah berbeza kerana lantikan ketua kampung dilaksanakan melalui temuduga dan pemilihan khas oleh pejabat daerah sebelum nama dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

“Proses ini tidak bergantung kepada ADUN, termasuk di kawasan pembangkang. Bagaimanapun, kebanyakan calon tetap disarankan oleh parti politik daripada kerajaan negeri yang memerintah,” katanya.

Tambahnya, Pejuang Johor akan terus memperjuangkan kaedah pemilihan yang lebih telus, seimbang dan berorientasikan rakyat tanpa memihak kepada mana-mana kepentingan politik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sy sependpt dgn ape yg Puan Suraya ungkapkn. smga cdgn Puan Suraya dterima baik oleh smua lapisan msyrkt kite harini

Comments are closed.