KUALA LUMPUR – Mangsa serangan parang di Pengkalan Rama Pantai, Melaka hari ini tampil memohon Mahkamah Tinggi Melaka menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret yang hanya menjatuhkan hukuman denda terhadap dua tertuduh dalam kejadian pada Oktober lalu.
Peguam, Mathan Anandaram yang mewakili mangsa, Yogeswaran Amarathalingam berkata, hukuman itu dianggap tidak selaras dengan kecederaan parah dialami anak guamnya.
Menurut surat permohonan semakan yang dihantar kepada Mahkamah Tinggi, kejadian berlaku pada 20 Oktober lepas ketika mangsa diserang dua penyerang menggunakan parang dan cota dengan bantuan dua lagi individu.
Serangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius pada kepala dan memerlukan pembedahan serta 25 jahitan.
Difahamkam polis menahan semua suspek pada 23 Oktober lalu dan siasatan dibuka bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lebih berat.
Namun pada 28 Oktober, dua tertuduh utama didakwa di Mahkamah Majistret hanya di bawah Seksyen 324 dan kedua-duanya mengaku bersalah sebelum dijatuhkan denda RM3,800 dan RM3,700.
Mathan mempersoalkan tindakan pendakwaan menuduh di bawah seksyen lebih ringan walaupun laporan perubatan penuh mangsa hanya dikeluarkan pada 5 November lalu selepas hukuman dijatuhkan.
“Laporan perubatan jelas menunjukkan mangsa mengalami kecederaan parah yang sepatutnya dituduh bawah Seksyen 326, bukan Seksyen 324.
“Kami tidak faham bagaimana siasatan dianggap selesai tanpa laporan perubatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Peguam itu berkata, video yang diserahkan keluarga mangsa turut menunjukkan tertuduh masih mengancam mangsa selepas kejadian.
Mathan turut mempersoalkan keputusan mahkamah kerana tidak meminta Penyataan Impak Mangsa direkodkan sebelum hukuman dijatuhkan.
“Hukuman denda tidak menggambarkan langsung keseriusan jenayah ini. Mangsa hampir kehilangan nyawa tetapi tertuduh hanya membayar denda.
“Kami hanya memohon supaya keadilan sebenar diberikan kepada mangsa,” katanya. -MalaysiaGazette
















