Tangkap layar video berdurasi 1 minit 18 saat yang tersebar sejak semalam memaparkan kedua-dua kenderaan dipandu di kawasan perumahan tersebut dengan cara membahayakan pengguna jalan raya lain.

MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka membuka siasatan terhadap pemandu ‘bas pink’ dan Perodua Axia berhubung penularan sebuah video memaparkan aksi pemanduan berbahaya di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal.

Video berdurasi satu minit 18 saat yang tersebar sejak semalam memaparkan kedua-dua kenderaan dipandu di kawasan perumahan tersebut dengan cara membahayakan pengguna jalan raya lain.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pihaknya telah mengeluarkan Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap syarikat pemilik Bas.My berkenaan dan pemilik Perodua Axia.

“JPJ memandang serius insiden ini dan siasatan telah dimulakan serta-merta termasuk mengenal pasti individu yang memandu kenderaan tersebut pada hari kejadian.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan jalan raya,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa peruntukan undang-undang boleh dikenakan terhadap pemandu terbabit termasuk Seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

Jika disabitkan, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kesalahan pertama manakala sabitan kedua memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak menjadikan jalan raya sebagai medan provokasi dan peraturan yang ditetapkan adalah bagi memastikan keselamatan semua,” katanya.

Siti Zarina berkata, pemandu bas perkhidmatan awam juga boleh disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 berhubung kelakuan pemandu dan konduktor.

Kesalahan itu memperuntuk denda antara RM1,000 hingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, Seksyen 201 APAD 2010 turut terpakai sekiranya berlaku perbuatan atau peninggalan sengaja yang membahayakan penumpang dengan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tujuh tahun

“JPJ menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang trafik kepada kami atau pihak berkuasa terdekat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast