KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan perkenal garis panduan untuk Badan Permuafakatan Pendidikan Mara (Muafakat) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) meliputi peraturan, tatacara dan kawal selia dalam mengenakan yuran atau kutipan tambahan ke atas ibu bapa.
Dengan adanya garis panduan tersebut, pendapatan dan perbelanjaan Muafakat juga wajib diaudit.
Menjelaskan perkara tersebut, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara diminta untuk mewujudkan jawatan kuasa bagi meneliti dan memperinci segala aspek yang terkait dengan operasi Muafakat.
Langkah itu membolehkan jawatan kuasa menghasilkan dan membentuk satu garis panduan yang akan menjadi satu bentuk peraturan mengikat yang mampu mengawal selia operasi dan tadbir urus Muafakat, tambahnya.
“Mara akan perkenal garis panduan untuk Muafakat MRSM meliputi peraturan, tatacara dan kawal selia dalam mengenakan yuran atau kutipan tambahan ke atas ibubapa. Pendapatan dan perbelanjaan juga wajib diaudit,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Jelas beliau, langkah itu memastikan tidak timbul pertelingkahan dan perbalahan soal perbelanjaan mahupun yuran melampau atau caj-caj tambahan yang dikenakan atas nama sumbangan yang boleh membebankan sesetengah ibu bapa dari kalangan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
“Ada sesetengah MRSM, pelajar terpaksa membeli 8 hingga9 jenis pakaian apabila mahu mendaftar, selain baju Maktab, baju batik, baju korporat dll.
“Dengan adanya garis panduan ini, diharapkan kawalan dapat dibuat supaya kebajikan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah terpelihara dan tidak dibebankan dengan pembayaran tambahan yang begitu menekan mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















