Foto tular di media sosial menunjukkan keadaan mangsa yang cedera selepas ditetak seorang lelaki dalam kejadian di sebuah surau di Kampung Bukit Jana, Kamunting, Taiping pada Rabu.

TAIPING – Seorang siak cedera parah selepas ditetak beberapa kali dengan sebilah parang oleh seorang lelaki yang positif dadah dalam kejadian di sebuah surau di Kampung Bukit Jana, Kamunting, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut sekitar jam 3.13 petang.

“Ketika kejadian mangsa berusia 68 tahun itu berada di kawasan surau sebelum secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki berusia 55 tahun (suspek) yang membawa sebilah parang lalu menetak kepala dan tangan mangsa beberapa kali.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping telah menahan suspek di kawasan Kamunting kira-kira jam 4.30 petang.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek memiliki 16 rekod kesalahan berkaitan jenayah dan narkotik, selain ujian saringan air kencing turut menunjukkan dia positif dadah jenis morfin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Taiping esok,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast