KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menafikan penglibatan kakitangannya berhubung panggilan telefon berunsur penipuan terhadap orang awam baru-baru ini.
Pengarahnya, Dr. Saiful Azlan Sharif berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada orang awam berhubung perkara itu yang mendakwa mereka telah melakukan kesalahan berkaitan JKN Pahang.
“Pemanggil telah menyamar sebagai pegawai dari JKN Pahang.
“JKN Pahang ingin menafikan penglibatan kakitangan dalam sebarang panggilan telefon berkenaan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan telefon berunsur penipuan sedemikian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sekiranya menerima panggilan telefon seperti itu, Saiful menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat peribari seperti nombor kad pengenalan, paspot dan nombor akaun bank.
Orang ramai juga katanya boleh membuat semakan dan pertanyaan lanjut kepada pihak JKN Pahang melalui talian 09-5707999. – MalaysiaGazette
















